Malaysia layak ke Piala Asia

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad kendalian Kim Pan Gon berada di depan pada minit ke-16 menerusi Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Matthew Davies dijatuhkan pertahanan lawan.

Bangladesh bagaimanapun membuat kejutan apabila berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.

Tujuh minit selepas itu, skuad Harimau Malaya kembali di depan apabila Dion Cools meledak gol kedua pasukan negara selepas rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol, Anisur Rahman.

Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Syafiq Ahmad mengukuhkan kedudukan buat skuad Harimau Malaya apabila menanduk masuk bola hantaran Faisal Halim.

Malam gemilang skuad kebangsaan diteruskan dengan jaringan pemain gantian, Darren Lok selepas dia tenang menyudahkan hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-73.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Keputusan:

Kumpulan A: Palestin 4 – 0 Filipina

Kumpulan B: Yaman 0-2 Mongolia

Kumpulan C: Maldives 1-0 Sri Lanka

Kumpulan D: Afghanistan 2-2 Kemboja

Kumpulan E: Bahrain 1-0 Turkmenistan, Malaysia 4-1 Bangladesh

Kumpulan F: Myanmar 2-6 Singapura

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker