Netizen ‘Hubungan’ Zara Zya, Shuib direstui
Kuala Lumpur: “Apa yang pasti, saya terhibur dengan komen netizen dan wargamaya pada hari ini. Semoga semua sentiasa berfikiran positif dan mendoakan yang terbaik buat saya”.
Demikian ulas pelakon Zara Zya secara ringkas apabila video yang dimuat naik di media sosial bersama pelawak, Shuib menjadi viral.
Malah, netizen punya seakan-akan merestui hubungan mereka dan mahu menjodohkan kedua-dua selebriti itu.
Pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini berharap agar netizen sentiasa berfikiran yang positif dan mendoakan yang baik-baik saja.
“Setiap kali saya memuat naik sebarang video atau gambar di media sosial, pasti ada yang menjodohkan. Tidak sangka pula perkongsian ringkas itu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.
“Terpulang kepada peminat dan warga maya hendak meninggalkan sebarang komen, asalkan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Semoga semuanya kekal positif kerana tidak mahu ada pihak yang terasa hati nanti.
“Selain Shuib yang mempunyai banyak hati untuk dijaga, begitu juga saya. Kami masing-masing ada kehidupan sendiri,” kata Zara kepada Harian Metro.
Pelakon berusia 36 tahun itu turut memuat naik paparan skrin artikel mengatakan netizen suka melihat mereka berdua di TikTok. Menerusi perkongsian itu, Zara memohon agar netizen berhenti menjodohkan dia dengan Shuib yang mempunyai kehidupan sendiri.
Terdahulu, Zara juga pernah di ‘kenenkan’ dengan rakan baiknya iaitu usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa.
METRO