Pegawai, anggota polis cedera kereta dirempuh pengedar dadah
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah merempuh kenderaan dinaiki anggota Bahagian Siasatah Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Taman Ria Jaya, jam 3 pagi semalam.
Berikutan itu, seorang pegawai berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan selepas terkena serpihan cermin kereta yang pecah akibat dirempuh kenderaan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum itu ditahan sepasukan anggota BSJN di tepi jalan Lorong Gemelan.
“Bagaimanapun, suspek yang memandu kereta Proton Perdana enggan berhenti dan bertindak agresif apabila terus melanggar kenderaan dinaiki sepasukan anggota polis berkenaan.
“Akibatnya, seorang pegawai cedera di tangan, manakala seorang Lans Koperal cedera di lutut kanan selepas terkena serpihan cermin kereta yang pecah,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, anggota polis mengejar suspek yang ketika itu terus memecut laju keretanya ke kawasan Kampung Haji Wahab sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Suspek meninggalkan kereta di tepi jalan dan menghilangkan diri dengan masuk ke dalam kawasan semak berhampiran.
“Kita merampas dan membawa pulang kenderaannya ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan dalam kereta terbabit tidak menemui sebarang benda terlarang,” katanya.
Menurutnya, setakat ini suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Sementara itu, dalam kes berasingan seorang mekanik sanggup memandu melawan arus ketika dikejar kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Jalan Pekan Sungai Lalang, dekat sini, semalam.
Kejadian pada 1.30 tengah hari itu menyebabkan empat lagi kenderaan mengalami kerosakan akibat dilanggar Proton Satria dipandu mekanik berusia 36 tahun berkenaan.
Zaidy berkata, kejadian berlaku selepas suspek enggan memberhentikan kereta ketika ditahan anggota MPV untuk pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Bedong.
“Suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota MPV cuba menahannya untuk pemeriksaan dia terus memecut kereta dari stesen minyak menuju ke Pekan Sungai Lalang.
“Lelaki berkenaan juga memandu secara melawan arus serta melanggar dua kereta masing-masing Honda Civic dan Toyota Vios yang ketika itu diparkir di bahu kiri jalan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian terus memandu melawan arus sebelum bertembung Proton Iswara yang ketika itu sedang bergerak di atas jalan dan menyebabkan kenderaannya terbabas dan melanggar pula Honda HRV yang diparkir di bahu kanan jalan.
“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan anggota MPV sebelum dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan dalam keretanya, polis menemui sebilah parang, tiga paket dadah jenis syabu dan dua paket dadah jenis heroin,” katanya.
Menurutnya, suspek serta pemandu Proton Iswara mengalami kecederaan di muka dan badan manakala tiga lagi pemilik kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan 1958, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
BHOnline