Berkat kongsi gajet dengan adik, 10A dapat, motosikal pun dapat

KEPALA BATAS : Walaupun terpaksa berkongsi gajet untuk mengulangkaji pelajaran secara atas talian namun, usaha itu berbaloi bagi Nur Tasnim Mohd Fadzli, 18, apabila dia meraih 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lebih manis, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Maarifil Wataniah (DMW), Kepala Batas, Pulau Pinang itu meraih hadiah berganda apabila menerima sumbangan berupa motosikal Modenas Kriss sumbangan kelab motosikal, Northern Pulsar Crew (NPC) sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hari ini.
Menurut Nur Tasnim, dia tidak menyangka akan memperoleh 10A kerana terpaksa bergelut untuk membuat ulang kaji secara atas talian berikutan kekangan dari segi kemudahan internet.
Apa tidaknya, dia terpaksa berkongsi satu gajet dengan dua adik berusia 10 dan 16 tahun yang turut membuat ulang kaji atas talian ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Masa COVID memang betul-betul (mencabar) sebab dari form four pun dah start PKP lepas tu form five pun sama memang sangat-sangat mencabar. l
“Belajar online sebab kadang-kadang internet lepas tu kena share gajet dengan adik, adik ada dua orang, kena berebut juga lah…macam susah bila ada kat rumah sebab ada adik-adik,” katanya.
Nur Tasnim anak kedua dari empat beradik memberitahu dia akan menggunakan motosikal yang diterimanya apabila melanjutkan pelajaran kelak.
Dia yang ditemani ibu bapa, Mariyatulkhetiah Mohamad, 47, dan Mohd Fadzli Abdul Rahman, 49, berhasrat melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah untuk mengejar cita-cita bergelar pensyarah.
Sementara itu, Pengarah Projek CSR NPC, Mohd Akmal Rosli memberitahu, program sumbangan motosikal kepada pelajar cemerlang dirancang sejak hujung tahun lalu sebagai dorongan kepada calon yang bakal menduduki SPM.
Ia adalah sebahagian program CSR yang terpaksa dihentikan dua tahun lalu susulan COVID-19.
“Nasihat saya kepada penerima ini (motosikal) bila ada motor ini diguna ke arah kebaikan. Lepas tu kalau kata sambung belajar kat mana-mana pun motor inilah boleh guna untuk harian dan juga jadi lebih berjaya lagi untuk masa-masa depan,” katanya.
astroawani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button