Perginya insan ‘Terlalu Istimewa’

KUALA LUMPUR: Tanggal 8 Jun lalu, figura kesayangan ramai ini memuat naik foto di Instagram (IG) menampakkan sosok tubuh yang dilihat menyusut secara drastik, lantas mengundang kemusykilan netizen.

Mendakwa amalan pemakanan sihat sejak dua bulan lalu jadi punca berat badan menurun, tiada siapa menyangka, rupa-rupanya bekas pendidik ini menyembunyikan kisah sebenar dan penderitaan ditanggung.

Kelmarin, pada jam 7.30 malam, rakyat Malaysia meratapi pemergian insan seni serba boleh dan penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Allahyarham Adibah Noor Mohd Omar, 52, di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas dipercayai dijangkiti penyakit kanser ovari tahap empat.

Sejak malam kelmarin, media sosial dan laman sembang mula dibanjiri ucapan takziah peminat pelbagai kaum yang rata-rata terkejut dengan berita pemergian Allahyarham Adibah. Tidak hairanlah, gelaran sebagai penghibur nasional jadi milik Adibah atau mesra disapa Kak Dib.



Allahyarham Adibah pasti dikenang sebagai artis berbakat besar, luhur, berfikiran positif dan tahu apa yang dimahukan dalam karier seni. Paling penting, arwah yakin dengan apa yang dimiliki baik bakat mahupun penampilan diri, bagi mencipta nama di persada seni.

Pada temuramah bersama BH Online susulan foto menampakkan dirinya susut, viral, Allahyarham Adibah memberitahu, berat badannya berkurangan 18 kilogram (kg) selepas mengamalkan pemakanan sihat, sejak dua bulan lalu.

Allahyarham Adibah dilaporkan berkata, beliau menjauhkan minuman bergula dan mengehadkan kepada enam suap sahaja setiap kali makan.

“Saya rasa sudah tiba masanya saya menjaga kesihatan sebab saya sudah tua… Itu saja,” katanya.



Adibah yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 3 September 1970, mula dikenali selepas menjuarai pertandingan Suara 90-an Nescafe pada 1994. Ketika itu, Adibah yang masih bertugas sebagai guru, mengalahkan 3,000 peserta lain.

Lebih sedekad bertatih dan membina nama, akhirnya, Adibah tampil dengan album sulung Terlalu Istimewa pada tarikh kelahirannya pada 2005.

Single Terlalu Istimewa adalah penghormatan Adibah kepada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani yang meninggal dunia selepas diperkosa dan dibunuh dengan kejam pada 2004.

Terpanggil melakukan sesuatu, Allahyarham Adibah dilaporkan memberitahu komposer, Azlan Abu Hassan hasratnya merakamkan lagu istimewa buat Nurul.

Lalu terhasillah Terlalu Istimewa, lagu yang antara lain menceritakan perihal kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk membesar.

Malah, Allahyarham Adibah sendiri pernah memaklumkan menerusi laman Twitter mengenai lagu berkenaan.

“Adik, abang kakak sekalian, makluman kepada yang suka dengar lagu tapi tak berapa nak tahu lirik lagu Terlalu Istimewa. Lagu itu adalah ‘tribute’ saya kepada Allahyarham adik Nurul Huda dan kanak-kanak sepertinya.

“Jadi, janganlah awak buat lagu untuk video perkahwinan awak iya,” katanya.

Mendapat sambutan hangat peminat, berbekalkan bingkisan itu, Adibah berjaya menempatkan dirinya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-21. Kemuncak kejayaan, arwah meraih trofi Juara Lagu, mengungguli kategori balada dan memenangi kategori Vokal Terbaik.

Pada 2010, Adibah tampil dengan album studio rakaman terakhir iaitu Teman. Antara single yang terkandung dalam album itu adalah Cahaya dan Sejujur Hatimu.

Sepanjang karier muziknya, Allahyarham Adibah pernah merakamkan lagu duet bersama kumpulan Senario, Sam Innuendo, Dina Nadzir dan ramai lagi.

November tahun lalu, selepas disokong peminat, Adibah menyertai musim kelapan program realiti, Gegar Vaganza (GV8).

Seperti dijangka, penyanyi bersuara lunak ini mara ke pentas akhir dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan yang mengangkat artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz sebagai juara.

Rupa-rupanya, sepanjang bertanding, tiada siapa melainkan rakan peserta GV8 tahu penderitaan ditanggung arwah Adibah yang melawan kanser.

Rakan seperjuangan Allahyarham Adibah dalam GV8, Ani Mayuni memohon maaf kerana perlu merahsiakan penderitaan dialami arwah daripada pengetahuan ramai.

Ani atau nama sebenarnya, Aishah An Nur Osman berkata, dia menghormati permintaan arwah untuk tidak mendedahkannya.

“Arwah memaklumkan sudah lama menderita kanser ovari. Saya minta maaf kami terpaksa merahsiakan.

“Sebelum ini, arwah ada beritahu saya dan beberapa rakan GV8 dan kami simpan rahsia ini,” katanya.

Tambah Ani, arwah mengambil masa lama untuk berehat selepas menjalani pembedahan.

Sama besar impaknya dalam dunia muzik, peminat mengenali Adibah sebagai pelakon serba boleh terutama dalam filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad. Peminat pastinya tidak lupa wataknya sebagai Kak Yam dalam filem Sepet arahan Yasmin.

Melihat arwah beraksi di layar perak, Allahyarham Adibah menghidupkan apa sahaja watak dengan bersahaja dan impaknya cukup dirasakan, bukan sesuatu yang tampak dibuat-buat.

Itu kelebihan dimiliki arwah yang pastinya dikenang sampai bila-bila, sama seperti sanjungan ramai terhadap Allahyarham Yasmin dan karyanya.

Antara lain filem lakonannya ialah Buli Balik, Gubra, Mukhsin, Talentime, Jin Noti, Magika, Crayon, Aku Tak Bodoh dan banyak lagi. Beberapa filem lakonannya yang masih belum ditayangkan adalah seperti Juang, Baik Punya Ah Long dan Sekolahaha.

Adibah juga pernah menjadi guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Petaling Jaya selama dua tahun. Sepanjang hayatnya, lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) begitu dikenali sebagai figura yang suka mendidik orang ramai mengenai bahasa Inggeris.

Malah, dek cinta yang menebal terhadap bahasa itu, Adibah juga pernah menawarkan diri untuk mengajar subjek bahasa Inggeris di saluran DidiK TV.

Allahyarham Adibah juga cukup diingati dengan watak Puan Hajar menerusi drama siri Oh My English di Astro pada 2012, 2013 dan 2017.

Pada masa sama, Adibah dikenali sebagai seorang yang gemar membangkitkan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.

Semalam, peminat mengucapkan selamat jalan ke negeri abadi buat Allahyarham Adibah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Taman Keramat, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Selain bapa Allahyarham Adibah iaitu Mohd Omar Zainal Abidin, 89, ahli keluarga dan sanak-saudara, acara pengebumian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Turut memberi penghormatan terakhir adalah rakan artis antaranya Datuk M Nasir, Datuk Afdlin Shauki, Anuar Zain, Ziana Zain, Linda Onn, Remy Ishak, Sharifah Amani, Saiful Apek, Nadiya Nissa, Nikki Palikat, Suki dan ramai lagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adibah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, di sini. Bapa arwah turut dilihat memasuki bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker