Sesak dengan ratusan kenderaan di Putrajaya
Putrajaya: Sesak dengan deretan ratusan kenderaan tidak ubah seperti keadaan di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota.
Itu situasi dirasai penghuni kuarters kakitangan kerajaan di pusat pentadbiran negara di sini, apabila terlalu banyak kenderaan diletakkan di pakir dan bahu jalan hingga mengakibatkan aliran trafik sesak pada waktu puncak.
Tinjauan di lokasi mendapati pemilik meletakkan kenderaan di bahagian kiri dan kanan jalan sedangkan kawasan itu sudah diwartakan sebagai lokasi larangan melalui peringatan papan tanda yang diletakkan di kawasan itu.
Malah ada pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di pondok perhentian bas.
Kakitangan swasta yang menetap di Presint 15 di sini, Muhajir Misran, 43, berkata, tindakan pemilik kenderaan sesuka hati menyusahkan penduduk berikutan laluan utama menjadi sempit.
Menurutnya, kawasan jalan sering sesak hingga menyebabkan menyukarkan penghuni keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.
“Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan kompaun atau menunda kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak sepatutnya, “katanya.
Sementara itu Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Mohd Ali Jusoh berkata, isu kekurangan parkir di kawasan perumahan berlaku hampir di semua lokasi di pusat pentadbiran kerajaan berkenaan.
Menurutnya, masalah timbul apabila penghuni memiliki kenderaan melebihi lot dikhususkan.
“Akibatnya kenderaan ini di parkir di depan rumah sampah sehingga melimpah ke bahu jalan. Laluan jalan semakin mengecil dan menimbulkan kesesakan serta berisiko berlaku kemalangan,” katanya.
METRO