Tiada sebarang perbincangan, kerjasama dengan Azmin

KUALA LUMPUR : PKR memutuskan, tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini menjadi pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung malam tadi.

“MPP juga memutuskan PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin, yang dianggap anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



PKR pada 24 Februari 2020 memecat Azmin dan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, susulan tindakannnya mengkritik secara terbuka kepimpinan PKR serta didakwa terbabit dalam ‘Langkah Sheraton’, gerakan yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Keputusan pemecatan ketika itu dimaklumkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada satu sidang media berlangsung di ibu pejabat PKR.

Menyentuh pemilihan PKR, Fahmi memaklumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan secara rasmi saf kepimpinan baharu cabang serta pimpinan utama PKR dalam masa terdekat, iaitu sebaik selesai seluruh proses aduan dan audit.

“Saf kepimpinan baharu ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya.



Dalam pada itu katanya, MPP juga memutuskan Kongres Nasional parti itu akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai ini, bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

“Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diteruskan pada 15 Julai ini, bertempat di IDCC Shah Alam.

“Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-15 serta pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai ini,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button