Banjir kilat, enam sekeluarga diselamatkan
Melaka: Enam sekeluarga termasuk lelaki warga emas pesakit kanser terpaksa menumpang sementara di rumah jiran selepas kediaman mereka di Jalan Bukit Senjuang, di sini, dilanda banjir kilat.
Terdahulu semua mereka berusia 11 hingga 87 tahun diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu.
Komander Operasi, Hazalani Jaafar berkata, panggilan kecemasan diterima pada 7.38 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamatkan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati kediaman mangsa dinaiki air pada paras 0.3 meter dan terdapat seorang warga emas sakit terlantar.
“Anggota membantu memindahkan mangsa ke rumah jirannya di kawasan yang lebih tinggi dan tidak terjejas dengan banjir,” katanya.
Terdahulu, beberapa kawasan di negeri ini mula dinaiki air selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak awal pagi tadi.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka berkata, keadaan di semua kawasan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.
Katanya, antara kawasan terjejas termasuk Taman Rambai Indah, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Rama Pantai, Rumah Awam Pantai Peringgit, Taman Desa Molek dan Kampung Padang Bukit Lintang.
METRO