Cik Puan Gojes, berhenti jadi guru, gigih buat kerja amal

KUALA LUMPUR: Kegigihan bekas pendidik yang memiliki jiwa besar tidak pernah mengira waktu mengabdikan diri melakukan kerja kebajikan membantu golongan memerlukan bagi memberikan kehidupan lebih baik dan sempurna.

Ismaniza Fahida Ismail, 40, atau dikenali sebagai Cik Puan Gojes (CPG) , 40, yang baru-baru ini dinobatkan Ikon Wanita Malaysia 2022 oleh Wanita Ikon Malaysia (KWIM) anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada Oktober lalu, berazam untuk terus melakukan kerja itu selagi mampu.



Baginya, setiap individu saling berhubung kait dan beliau menganggap menjadi tanggungjawabnya untuk cuba membantu sedaya upaya sejajar dirinya yang sudah dididik dengan sifat itu.

Bantuan dihulurkan itu bukan cara menagih sumbangan pihak tertentu, sebaliknya beliau sendiri menyumbangkan sebahagian dana daripada hasil perniagaan kosmetik dibangunkannya.

Malah, disebabkan keinginan begitu tinggi terhadap kerja kebajikan, membuatkan Ismaniza melepaskan jawatan sebagai guru bahasa Inggeris, selepas 18 tahun berkhidmat di bidang perguruan, pada Jun lalu.

“Saya tidak mahu mencemarkan imej perguruan jika tidak dapat menumpukan perhatian sebagai penjawat awam sepenuh masa, jadi berhenti boleh tumpu tanpa halangan,” katanya kali terakhir bertugas di Sekolah Kebangsaan Syed Syeh, Kedah.



Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, awalnya memang agak sukar membuat pilihan, namun memandangkan perniagaan kosmetiknya lebih menguntungkan dan boleh membantu lebih ramai orang, jadi beliau ‘lepaskan’ profesion berkenaan.

“Sebelum ini, saya mengambil cuti tanpa gaji selama enam sejak 2016 untuk tumpukan perhatian membina jenama kosmetik CPG sambil melakukan kerja kebajikan.

“Selepas tamat cuti itu, saya mengajar semula, waktu tamat kerja sehingga jam 3 petang. Jadi masa melakukan kerja kebajikan amat terhad lebih baik saya mengundur diri meskipun kerjaya guru amat mulia.



“Tetapi tetap bersyukur kerana saya mampu sebarkan lagi ‘kemuliaan’ itu dengan membantu orang sekeliling yang memerlukan,” katanya turut memberi bantuan hingga ke luar negara termasuk Filipina dan India.

Terbaharu, menerusi Pertubuhan Kebajikan Cik Puan Gojes Malaysia, beliau turut membantu seorang kanak-kanak yang memerlukan pembedahan di luar negara bernilai RM700,000.

Katanya, pertubuhan itu ditubuhkan dengan secara tidak sengaja memandangkan ramai yang ingin menyalurkan bantuan, namun salurannya tidak tepat.



“Bukan tidak pernah saya ditipu berpuluh-puluh ribu ringgit kerana menumpang di akaun pertubuhan lain, disebabkan itu saya terpaksa membuat akaun dengan menggunakan pertubuhan ini.

“Pernah saya membuat tempahan untuk membantu mangsa banjir sebanyak RM75,000, namun apabila diminta wang itu dari akaun pertubuhan ditumpang, mereka menafikan, jadi terpaksa menggunakan wang syarikat.

“Dalam pertubuhan saya, tidak banyak saya minta, sumbangan RM1 sudah memadai untuk setiap orang, tidak perlu menyumbang jumlah banyak,” katanya yang menerima ribuan mesej setiap hari daripada orang ramai untuk meminta bantuan.

Katanya, disebabkan terlalu ramai meminta bantuan, adakalanya terlepas pandang.



“Saya sentiasa memegang kata-kata, walaupun tak dapat tolong semua orang, tetapi jangan tinggalkan semua orang.

“Jadi saya akan tolong selagi terdaya diri saya,” katanya yang menetap di Baling, Kedah.

Pepatah ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’ juga boleh diumpamakan kepada CPG .



Mengenai anugerah Ikon Wanita Malaysia 2022, beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM30,000 dan barang kemas bernilai RM10,000 dari Habib Jewels.

“Alhamdulillah, walaupun dengan anugerah ini, saya tetap menjadi diri sendiri dan berpegang pada niat yang asal.

“Perjalanan untuk menjadi CPG ini bukannya mudah kerana dalam pada melakukan kerja kebajikan, banyak juga kecaman saya terima. Namun saya sentiasa berlapang dada kerana mereka tidak berada di tempat saya.

“Keluarga terutama suami, Mohd Rozaini Khazali, 39, adalah tulang belakang saya yang paling kuat memberi sokongan, tanpa dia saya tidak mampu untuk ‘beraksi’ hebat seperti ini,” katanya..

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading