Salur bantuan tunai melalui e-dompet, perluas kepada M40
Perdana Menteri melalui penjelasan mengenai isu subsidi minyak masak dan pengumuman bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 kelmarin memberikan komitmen dan jaminan terhadap keputusan kerajaan untuk terus kekal memberikan subsidi minyak masak membabitkan RM4 bilion untuk tahun ini. Bahkan subsidi ini juga adalah RM1.8 bilion lebih tinggi daripada subsidi diberikan pada 2021, iaitu RM2.2 bilion.
Namun, disebabkan minyak masak berbotol disubsidi kerajaan banyak diselewengkan termasuk diseludup keluar, kerajaan bersetuju untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol mulai 1 Julai ini.
Bagaimanapun, subsidi minyak masak paket akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan sebulan mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini. Ini bermakna warga negara yang ingin membeli minyak masih boleh menikmati subsidi melalui pembelian minyak masak paket.
Keputusan ini diambil juga mengambil kira kecenderungan untuk minyak masak berbotol yang dilihat lebih mudah diseludup atau diambil kesempatan pihak tertentu untuk meraihkan keuntungan jika dibandingkan dengan minyak masak paket.
Kerajaan juga mengambil lima langkah jangka pendek untuk mengawal harga barang, iaitu memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap sebahagian komoditi agromakanan, menyekat pengeksportan ayam ke luar negara dan memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat secara bersasar, terutama golongan B40 mulai 1 Julai ini.
Juga mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana RM500 juta melalui pinjaman mudah kepada penggerak industri agromakanan dan mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.
Semua inisiatif dan langkah diambil kerajaan adalah untuk memastikan harga barangan di dalam negara tidak terus naik secara berterusan.
Selain itu, pengumuman Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 dengan tambahan sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan golongan bujang (RM50) juga sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat ketika begitu banyak barangan keperluan harian meningkat harganya disebabkan pelbagai faktor termasuk krisis Russia dan Ukraine, isu limitasi bekalan bahan mentah dan kebergantungan tinggi negara kepada barangan import.
Ketika ini, seramai 8.6 juta penerima BKM diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 tahun ini dan bantuan ini tentu sekali dapat membantu mereka yang amat memerlukan.
Pembayaran akan dilaksanakan berperingkat mulai Isnin ini, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.
Semua ini adalah langkah baik namun melihat kepada situasi kenaikan harga barang sekarang, maka kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memperluaskan bantuan tunai ini kepada sebahagian M40 yang juga amat tertekan ketika ini.
Terdapat cadangan agar kerajaan memberikan baucar atau kupon kepada rakyat untuk mendapatkan subsidi secara terus. Namun, saya berpandangan pemberian subsidi secara e-tunai atau e-dompet dikreditkan ke dalam kad pengenalan penerima atau dalam e-dompet penerima dan hanya digunakan untuk membeli barangan keperluan harian termasuk minyak masak akan dapat mengurangkan potensi penerima baucar atau kupon menjual atau memberikan kepada pihak lain.
Ini kerana e-tunai atau e-dompet juga akan dapat merekod transaksi pembelian barangan dibeli penerima dikreditkan bayaran berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan Projek Perintis, iaitu Program PRIHATIN Kasih membabitkan pembayaran sebanyak RM100 sebulan secara tanpa tunai selama tiga bulan kepada 300,000 isi rumah miskin di seluruh negara membabitkan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Program PRIHATIN Kasih ini membabitkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai runcit.
Bantuan ini digunakan penerima untuk membeli barangan asas di kedai terpilih berdekatan. Jika terdapat baki, bayaran bulanan berkenaan akan dibawa ke bulan berikutnya dan boleh digunakan hingga akhir tahun.
Kaedah bantuan seumpama ini perlu diteruskan secara bulanan dan dicadangkan sebahagian bantuan tunai contohnya RM100 setiap bulan dikreditkan melalui e-tunai atau e-dompet dan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan tunai oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Inisiatif ini akan dapat membantu rakyat menggunakan wang dikreditkan melalui e-tunai atau melalui e-dompet untuk membeli barang keperluan harian sahaja termasuk minyak masak.
Ini juga bagi memastikan hanya barang keperluan asas sahaja yang boleh dibeli rakyat, seterusnya dapat mengawal pembelian barangan.
Kerajaan juga boleh membabitkan pengusaha kedai runcit dan kedai makanan, penjaja serta peniaga kecil makanan di warung dan gerai serta termasuk juga perkhidmatan penghantaran makanan untuk turut serta mendaftar e-dompet agar mereka boleh menerima manfaat daripada pembelian menggunakan e-dompet.
Mengambil kira angka penerima BKM diumumkan Perdana Menteri, iaitu 8.6 juta penerima, maka unjuran jumlah peruntukan bulanan dikreditkan dalam e-dompet B40 adalah RM860 juta setiap bulan dan jumlah keseluruhan RM10.3 bilion setahun.
Bantuan dikreditkan ini juga boleh dipanjangkan kepada sebahagian M40 yang amat memerlukan pada ketika ini untuk membolehkan mereka juga menggunakan wang dikreditkan kepada mereka sama ada dalam bentuk e-tunai atau melalui e-dompet untuk membeli barangan keperluan harian.
BHOnline