Kalah tapi Aidil tetap bangga aksi pemain
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin Sahak tetap bangga dengan persembahan yang ditampilkan barisan pemainnya walaupun membuka saingan Piala AFC dengan langkah kiri, malam tadi.
Skuad Sang Kenari tewas 2-0 di tangan kelab Indonesia, Bali United dalam aksi pertama Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta.
Aidil bagaimanapun menegaskan bahawa pasukannya sudah memberikan aksi terbaik dengan ramai pemain muda disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan itu.
“Saya fikir secara keseluruhan pemain bekerja keras kerana ini adalah pasukan baharu, ramai pemain muda dalam kesebelasan utama.
“Kami, terutamanya pemain muda belajar sesuatu pada perlawanan hari ini (semalam) dan saya bangga dengan apa yang mereka lakukan.
“Apabila berdepan pasukan tuan rumah, mereka memiliki kelebihan dan mendapat sokongan menakjubkan dari penyokong. Pengalaman yang baik seperti ini bagus untuk masa depan dan perlawanan seterusnya,” katanya.
Kekalahan itu meletakkan anak buah Aidil di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.
Visakha yang turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 berada di kedudukan kedua.
KDA seterusnya akan berdepan Kaya Iloilo di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Isnin ini yang mana ia menjadi misi wajib menang untuk Sang Kenari menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.
BHOnline