Menang selepas 40 tahun ikhlas berkarya

KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad bergelar anak seni, pelakon senior, Mubarak Majid melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek, Coofie & Sexy Dress di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 yang berlangsung di India, baru-baru ini.

Terharu pengiktirafan diberikan, Mubarak, 66, menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah atas keikhlasannya dalam berkarya.

“Sebelum ini, saya pernah dicalonkan dalam pelbagai acara anugerah, tetapi hanya mampu cecah tahap finalis sahaja.



“Kebiasaannya, pemenang adalah pelakon yang lebih baru daripada saya. Namun, tidaklah saya berkecil hati kerana saya percaya ia bergantung pada rezeki.

“Lagipun, saya berlakon bukan untuk mengejar trofi. Ini kerana prinsip saya, berkarya biarlah dengan penuh keikhlasan,” katanya kepada BH Online.

Selain meraih trofi utama, filem bergenre drama ini turut merangkul tempat ketiga bagi kategori Filem Asing Terbaik.

Diusik pertanyaan adakah kemenangan menjadi pengubat duka susulan tidak pernah mendapat pengiktirafan di tanah air sendiri, Mubarak berkata, dia melihat kejayaan itu sebagai satu motivasi buatnya.



“Tidaklah nak kata sebagai pengubat duka, tetapi saya menyifatkan kemenangan sebagai usaha berbaloi selepas lebih 40 tahun berada dalam bidang seni.

“Walaupun ia hanyalah filem pendek, tetapi saya berbangga kerana juri luar memandang bakat orang Malaysia,” ujarnya dalam nada teruja.

Filem terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd itu mengisahkan konflik antara bapa dengan anak perempuan yang juga seorang model.

Mengulas perancangannya, Mubarak melahirkan hasrat berkongsi ilmu lakonan dengan generasi muda.



“Dengan pengalaman ada, saya mahu berkongsi ilmu lakonan bersama generasi muda.

“Mungkin saya akan ke pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus seni lakon bagi berkongsi ilmu dan pengalaman selama lebih 40 tahun,” katanya.

Selain membintangi drama dan filem, bekas kakitangan Kompleks Budaya Negara (KBN) itu bakal muncul membintangi pementasan teater muzikal berjudul Muzikal Moyang Salleh yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya antara 26 hingga 31 Ogos depan.

Terkini, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan lakonan juga sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button