Jesus semakin hampir ke Arsenal
LONDON: Arsenal dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani Gabriel Jesus selepas bersetuju dengan syarat-syarat peribadi penyerang Manchester City itu.
The Gunners sudah bersetuju dengan harga 45 juta pound (RM243.1 juta) diletakkan City dan perjanjian itu dianggap sempurna 100 peratus.
Jesus, yang sebelum ini pernah bersama Mikel Arteta ketika pengendali Arsenal itu menjadi penolong Pep Guardiola di Etihad, dilaporkan akan menandatangani kontrak lima tahun bersama Arsenal.
City akan menggunakan dana itu untuk menampung pembelian pemain tengah Leeds Kalvin Phillips. City sudah mempersetujui harga 42 juta pound (RM226.8 juta) untuk pemain England berkenaan.
Skuad kendalian Guardiola sudah menandatangani Erling Haaland dari Borussia Dortmund, yang membolehkan mereka untuk menjual Jesus.
Perjanjian itu akan menamatkan pencarian penyerang oleh Arsenal selepas Alexandre Lacazette kembali ke Lyon. Arsenal memilih untuk tidak membeli penyerang pada jendela perpindahan Januari lalu walaupun Pierre-Emerick Aubameyang berpindah ke Barcelona.
Awal bulan ini penyerang Eddie Nketiah menandatangani kontrak baharu selama lima tahun dengan kelab itu.
Arsenal sebelum ini menandatangani pemain tengah Fabio Vieira dari Porto, manakala pemain sayap muda Marquinhos menyertai mereka dari Sao Paulo.
AGENSI