Cubaan seludup minyak masak subsidi gagal

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 340 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi menerusi Ops Pluto Timur, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata sepasukan anggota bot perondanya mengesan sebuah bot tanpa pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.5 batu nautika arah utara Pulau Kulapuan, dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Bagaimanapun, katanya sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan, juragan bot bertindak memecut laju ke kawasan cetek sebelum melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran dan gagal dikesan.



“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan sebanyak 340 paket minyak masak bersubsidi disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot bersama dua unit enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM5,350.00 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan 1961,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Norrimi berkata, sepanjang bulan Februari hingga Jun tahun ini, hampir tiga tan (2953kg) minyak masak paket bersubsidi berjaya dirampas menerusi beberapa siri operasi yang dijalankan di sekitar kawasan perairan Semporna.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya percaya kegiatan penyeludupan barang kawalan terbabit didalangi sindiket membabitkan warga asing dan penduduk tempatan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button