Jamu pelajar tahfiz, orang ramai durian bersama pulut
Kota Bharu: Sebanyak 300 kilogram (kg) durian pelbagai jenis termasuk durian kampung dan kunyit yang dimakan bersama pulut dihidangkan secara percuma kepada pelajar tahfiz, penduduk kampung dan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Kemubu, Dewan Beta, di sini, hari ini.
Menurut Sidek Ahmad Mohd Nor, 61, idea untuk memberi makan pulut durian secara percuma itu disebabkan harga durian di pasaran yang agak tinggi dan terdetik di hatinya untuk berkongsi dengan orang ramai terutamanya pelajar tahfiz dan golongan kurang berkemampuan.
Katanya, durian yang diberikan itu adalah hasil pertama daripada kebunnya dan pada masa sama, turut mendapat tambahan bekalan durian daripada rakan-rakannya yang memiliki kebun durian bagi memastikan bekalan durian yang dihidangkan kepada tetamu mencukupi.
“Inisiatif ini diambil supaya golongan yang kurang berkemampuan sama-sama dapat menikmati keenakan rasa raja buah ini selain berkongsi rezeki bersama individu lain.
“Mungkin ada di antara kita yang teringin untuk menikmati durian, namun tidak mampu. Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi hasrat mereka yang tidak berkemampuan.
“Pada masa sama, saya juga menjemput pelajar tahfiz kerana mereka mungkin tidak dapat menikmati durian dengan kerap seperti orang lain disebabkan
mempunyai kekangan peruntukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Beta, di sini, hari ini.
Katanya, jamuan pulut durian itu bermula pada jam 8 pagi sehingga petang ini dan jika bekalan durian tidak mencukupi, dia akan mendapatkan bekalan daripada pembekal durian di kawasan sekitar.
“Insya-Allah, saya berhasrat untuk mengadakan lagi jamuan makan pulut durian secara percuma ini pada masa akan datang sekiranya diberikan kesempatan dan rezeki,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Mudir II Pondok Muhammadiah Kampung Beta Hilir,Nawawi Mohamed, 46, berkata, ini julung kali pihak luar meraikan pelajar tahfiz dengan memberi makan pulut durian secara percuma.
“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana dalam program yang diadakan pada hari ini, 40 pelajar tahfiz diberikan keutamaan untuk menikmati hidangan pulut durian secara percuma.
“Jika ditanya sudah semestinya ada yang mahu makan durian, namun peruntukan yang ada lebih diutamakan untuk keperluan mereka,” katanya.
METRO