‘Giant killer’ Sabah Kadoh Agundong meninggal dunia

Kota Kinabalu: Veteran politik Sabah yang juga digelar ‘giant killer’ Datuk Kadoh Agundong, meninggal dunia di Hospital KPJ Damai dekat sini akibat sakit tua, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Berita itu disahkan oleh sepupu mendiang, Stanis Buandi ketika ditemui pada persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka di sini, hari ini.

“Ya, mendiang (Kadoh) lama sudah sakit tenat sebelum dimasukkan ke KPJ beberapa bulan lepas dan semalam beliau meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kadoh, 74, meninggalkan isteri Datin Catherine Soledad Kadoh, 60, dan empat orang anak serta sembilan cucu.

Mendiang mewakili PBS, terkenal dengan nama gelaran ‘giant killer’ kerana berjaya menumbangkan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh dari Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1985.

Mendiang yang berasal dari daerah Tenom merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap dan bekas Ahli Parlimen Ulu Padas kini dikenali Parlimen Tenom.

Sepanjang berkecimpung dalam politik, Kadoh pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada era kerajaan PBS.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden PBS pada era 80-an bagaimanapun mengumumkan menyertai Parti Warisan pada 21 Dis 2019.

METRO

Leave a Reply