Majikan diberi tempoh hujung bulan carum pekerja

Oleh – Syeikh Baran


Majikan diberi tempoh hujung bulan carum pekerja
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed pada sidang media Bulan Pemutihan PERKESO 2024 di Menara PERKESO. -Foto NSTP/Saifulizan Tamadi

Majikan diberi tempoh hingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata tempoh diberikan sempena Bulan Pemutihan kali ke-15 sebelum pihaknya mengambil tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).



“Saban tahun pegawai kita terpaksa mengetuk pintu premis meminta majikan mendaftar kerana masih ada yang belum berbuat demikian secara sukarela.

“Tujuan kita suruh majikan carum bagi memastikan kebajikan dan keselamatan sosial pekerja diutamakan kerana pekerja adalah aset kepada majikan,” katanya dalam sidang media Bulan Pemutihan PERKESO di Menara PERKESO, hari ini.

Dr Mohammed Azman menjelaskan, pendaftaran caruman itu boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000.

“Sekiranya majikan tidak mendaftar dalam tempoh pemutihan, PERKESO tidak akan berkompromi atau memberi lagi pengecualian dan tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan menerusi Ops Kesan 2024 yang akan dilaksanakan pada bulan depan,” katanya.



Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Kesan Ke-15 bertujuan memastikan majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja mendaftarkan perusahaan dan pekerjanya termasuk mereka yang mempunyai pembantu rumah warga tempatan atau asing.

Katanya, ia sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan.

“Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar disebabkan kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO.



“Seterusnya, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan statistik Ops Kesan Ke-14 tahun lalu, tahap ketidakpatuhan majikan mencarum di bawah Akta 4 dan Akta 800 selepas pelaksanaan Bulan Pemutihan sebanyak 21.73 peratus, berbanding 2022 iaitu 18.95 peratus.

“Kebanyakan ketidakpatuhan ini membabitkan majikan berskala kecil dan baru memulakan perniagaan pasca pandemik,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, hasil dapatan PERKESO menunjukkan majikan dalam kategori pemilikan tunggal mencatat jumlah tertinggi bagi kesalahan lewat mendaftar dan mencarum selain kurang pengetahuan serta kesedaran mengenai kewajipan mencarum dalam kalangan majikan.



“Meskipun saban tahun Ops Kesan dilaksanakan, kadar ketidakpatuhan majikan masih tinggi, sekali gus mengabaikan hak asasi pekerja untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial.

“Berdasarkan perangkaan PERKESO sehingga 31 Mac lalu, hampir 1.55 juta majikan berdaftar dengan PERKESO di bawah Akta 4 namun jumlah aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819 majikan.

“Jumlah pekerja aktif pula iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan seramai 9.70 juta orang,” katanya.

Katanya, Bulan Pemutihan kali ini turut memberi tumpuan kepada penyaluran maklumat berkaitan pencegahan kemalangan di tempat kerja di samping aktiviti dalam mempergiatkan usaha menguar-uarkan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada semua majikan terutama dari sektor kecil dan sederhana.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button