Pandemik ‘knock out’ 30,000 mahasiswa

 

Oleh Azrin Muhammad

Cerita bab COVID-19, sudah tentu melekat kuat dalam ingatan rakyat Malaysia termasuk golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) yang turut terkesan.



Segalanya bermula apabila pelajar mula kembali ke kampung halaman masing-masing pada penghujung April tahun 2020 ekoran pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 Mac tahun yang sama.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika itu menjadi pihak yang paling sibuk membuat persiapan rapi kerana mahu kumpulan pertama melibatkan 100,000 pelajar sampai ke rumah dalam keadaan selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Norma baharu telah bermula pada tahap ini, landskap pengajian tinggi menerima kesan yang signifikan dan bebanan yang dialami KPT ketika itu sangat dahsyat sehingga ada yang mendesak Dato’ Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan.

Saat ini negara boleh dikatakan merangkak untuk bangun daripada pukulan COVID-19, tidak adil sekiranya kita mahu menyelar kerajaan dengan kesan pandemik terhadap sektor pengajian tinggi.



Hal ini jelas khususnya selepas Noraini berkongsi data sebanyak 2.6 peratus atau 30,904 daripada lebih 1.1 juta penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) gagal menamatkan pengajian sepanjang musim pandemik bagi tahun 2020 dan 2021.

Kita perlu sedar bahawa pandemik jauh berbeza dengan bencana alam lain seperti jerebu dan banjir, kerajaan juga tidak pernah membayangkan bilik kuliah terpaksa ditutup untuk tempoh yang lama.

Apabila pelajar mula belajar di rumah, pensyarah dan kakitangan universiti bekerja dari rumah, cabaran baharu pasti ada dan setidak-tidaknya memerlukan masa untuk mereka membiasakan diri. Mana mungkin hasilnya akan sama dengan hasil ketika berada di kampus.

Faktor jurang digital seperti pembelajaran atas talian adalah antara bukti jelas yang menjurus ke arah kegagalan pelajar kerana pelajar yang berada di bandar mempunyai kelebihan berbanding pelajar di luar bandar. Itu belum cerita bab status kaya, sederhana atau miskin.



Namun kerajaan menerusi KPT sentiasa cakna dan mencari solusi bagi menangani masalah pokok iaitu capaian internet kerana tidak mahu ada pelajar yang gagal mendapatkan hak pendidikan tetapi ia setidak-tidaknya memerlukan masa dan pengorbanan.

Majoriti pelajar negara ini masih berada dalam tanggungan keluarga, COVID-19 boleh diibaratkan seperti zaman perang kerana masing-masing dilanda masalah kewangan sehingga ada yang mula berniaga secara kecil-kecilan kerana dibuang kerja.

Bayangkan seorang bapa yang baru dibuang kerja, perlu menampung perbelanjaan keluarga dan keperluan anak-anak menghadiri kelas secara maya sepanjang musim pandemik yang tidak tahu bila pengakhirannya.

Masyarakat perlu memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat olahan agar proses pembelajaran berteknologi dapat dijalankan sejajar dengan elemen kemanusiaan terutamanya menjelang pasca pandemik, sekali gus membentuk landskap baharu pendidikan tinggi negara.



KPT juga sudah mengeluarkan kenyataan dan menjelaskan empat perkara utama iaitu masalah kesihatan, masalah peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar menjadi faktor kepada masalah ramai pelajar gagal pada tahun 2020 dan 2021.

Semua diantara kita sedar dan tahu akan perkara berkenaan dan tidak adil untuk kita menuding jari kepada pihak lain sedangkan tidak ada satu negara pun yang mampu melawan ujian daripada yang Esa sepanjang musim pandemik.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan ketika ini adalah berbalik kepada diri sendiri untuk muhasabah segala tindak-tanduk perlakuan kita. Kita seharusnya memberi ruang serta sokongan penuh kepada kerajaan untuk menaikkan semula sektor pengajian tinggi.

Cadangan lebih diperlukan berbanding kecaman. Tepuk dada tanya selera. Pandemik bukan isu mudah, masih ada lagi negara yang tenggelam timbul sehingga hari ini.



 


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading