Fernandes yakin Ronaldo kekal di Old Trafford

MANCHESTER: Bruno Fernandes cuba menamatkan spekulasi berkaitan masa depan Cristiano Ronald dengan mendakwa rakan senegara Portugal itu akan kekal di Old Trafford.

Bintang Manchester United berusia 27 tahun mendedahkan, kali terakhir dia bercakap dengan Ronaldo ialah beberapa minggu lalu tetapi menjangkakan rakan sepasukannya itu akan terus menyarung jersi Red Devils.

Fernandes percaya Ronaldo akan menyertai sesi latihan pra-musim Isnin ini, dan yakin kelab tidak mahu kehilangan pemain bernilai itu.



Ronaldo dikatakan akan berpindah selepas pasukan di tangga keenam Liga Perdana Inggeris musim lalu itu gagal layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

“Saya bercakap dengannya beberapa minggu lalu – kami berdua sedang bercuti. Saya berharap akan bertemunya (pada 4 Julai) untuk berlatih di sana (Manchester United).

“Saya tidak percaya yang kelab sanggup melepaskan pemain berharga seperti Ronaldo,” kata Fernandes.

United menegaskan mereka tidak akan melepaskan Ronaldo musim panas ini tetapi ia tidak menghalang minat kelab-kelab lain terhadap Ronaldo.



Antara kelab yang dikaitkan dengan perpindahan Ronaldo adalah pesaing Liga Perdana Inggeris Chelsea, kelab Portugal Sporting Lisbon, juara Bundesliga Bayern Munich serta AS Roma kendalian Jose Mourinho.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button