Mogok selepas rakan maut tragedi tangki gas klorin jatuh

AMMAN: Ratusan pekerja pelabuhan melancarkan mogok di Jordan semalam, ketika Perdana Menteri mengumumkan pemecatan beberapa pegawai yang dituduh ‘cuai’ berhubung kebocoran gas yang membawa maut.

Sebuah tangki gas klorin terjatuh ketika ia diangkat dengan kren ke atas sebuah kapal di pelabuhan Laut Merah Jordan di Aqaba Isnin lalu dan melepaskan bahan toksik itu.

Menurut angka rasmi terkini, sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk lima warga Vietnam, maut manakala lebih 260 lagi cedera.

“Pekerja pelabuhan membuat bantahan terhadap langkah keselamatan yang lemah di pelabuhan yang menyebabkan kematian dan kecederaan beberapa rakan sekerja mereka,” kata wakil kesatuan sekerja, Ahmed Amayreh.

Katanya kepada AFP, kira-kira ’95 peratus daripada 2,300′ pekerja pelabuhan Aqaba menyertai mogok itu.

Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh semalam turut berkata, siasatan menunjukkan ‘kekurangan besar dan kecuaian dalam langkah keselamatan untuk menangani bahan berbahaya di pelabuhan Aqaba’.

Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet berkata, pengarah dan pegawai lain dari operator pelabuhan negeri serta ketua pihak berkuasa maritim turut dipecat.

Menteri Dalam Negeri, Mazen al-Faraya yang mengetuai siasatan, berkata berat tangki gas itu jauh melebihi keupayaan beban maksimum kabel kren yang mengangkatnya.

“Berat tangki itu kira-kira 28.9 tan, lebih tiga kali ganda daripada kapasiti kabel kren 8.6 tan dan menyebabkan ia putus,” kata Faraya pada sidang akhbar.

Katanya lagi, sebanyak ’18 tangki gas klorin sepatutnya dimuatkan ke dalam kapal itu’.

“Semasa memuatkan tangki kelima, kabel putus dan kontena jatuh, menyebabkan kebocoran gas,” katanya.

Faraya turut menyalahkan insiden sebagai ‘ pencerobohan dan kecuaian’ di beberapa peringkat dan berkata syarikat pelabuhan itu juga gagal menunjukkan kepimpinan.

Wakil kesatuan Amayreh pula berkata, pekerja pelabuhan yang mogok menuntut pegawai memastikan pelaksanaan langkah keselamatan yang sewajarnya.

Pendakwa raya Jordan Selasa lalu melancarkan siasatan ke atas insiden itu, yang menyebabkan penutupan sementara pantai berhampiran Aqaba.

Aqaba adalah satu-satunya pintu masuk maritim Jordan dan titik transit bagi bahagian terbesar import dan eksportnya.

AFP

Leave a Reply