Hormati, pelihara prinsip kebebasan badan kehakiman

Kangar: Masyarakat diseru supaya menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, ini termasuklah tidak membuat sebarang tuduhan yang melulu dan tidak berasas kepada hakim atau pegawai kehakiman.

“Beta yakin dan percaya bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang hakim.



“Mereka perlu banyak bersabar, berkorban masa dan tenaga. Setiap keputusan yang dibuat akan menjadi kayu pengukur kepada proses keadilan dan menjadi rujukan pada masa hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kangar, di Persiaran Wawasan, di sini hari ini.

Titahnya, umum mengetahui terdapat tiga cabang utama yang ditadbir berasingan mengikut sistem pentadbiran negara iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

“Ketiga-tiga badan ini mempunyai peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing. Dengan adanya pengasingan kuasa, pemerintahan negara akan berjalan dengan tersusun dan teratur serta wujud ‘check and balance’ dalam sistem pentadbiran negara.



“Bagi badan kehakiman, Beta menaruh harapan tinggi supaya hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti serta etika pada setiap masa bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepada keadilan, kesaksamaan dan ‘without fear or favour’.

“Jika sesuatu keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, Beta yakin sudah pasti keputusan tersebut dapat diterima baik semua pihak,” titahnya.

Dalam masa yang sama juga, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengajak seluruh jentera kerajaan termasuk penjawat awam, ahli politik, badan swasta, badan bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam untuk bersatu hati dalam membasmi dan membendung masalah rasuah.

Menurut Baginda, sekiranya budaya berkenaan tidak dihapuskan, ia akan merosakkan seluruh sistem pentadbiran dan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.



Terdahulu, baginda berkenan berangkat merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar yang siap dibina pada 15 November tahun lalu di atas sebidang tanah berkeluasan 3.6527 hektar.

Kompleks dua tingkat yang menempatkan sebuah Mahkamah Tinggi dan masing-masing dua Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Majistret itu mula beroperasi pada 2 Januari tahun ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button