Hakim setuju lawat banglo guna dana Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini, bersetuju melawat dua banglo di Country Heights, Kajang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi diasaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim memutuskan demikian selepas pasukan pembelaan mencadangkan perkara itu demi keadilan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Mengambil kira faktor keadilan, saya setuju dengan permintaan dibuat. Kita akan menetapkan tarikh lawatan itu pada masa lain,” katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihaknya menjemput Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas kerana isu itu selalu diperkatakan dalam perbicaraan.

“Lawatan itu dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk jarak antara kediaman itu dengan Surau An-Nur di Country Heights (dalam kawasan sama kediaman Ahmad Zahid),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata tiada keperluan bagi pihaknya membuat lawatan itu kerana gambar diperoleh menunjukkan keadaan banglo berkenaan sudah mencukupi.

“Jika hakim mahu melawat banglo itu, mungkin boleh buat demikian hari lain. Bukan pada masa ini dan tidak bertindan dengan tarikh perbicaraan,” katanya.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ketika pemeriksaan balas seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau menyatakan secara terus kepada peguam, B Muralidharan supaya membeli dua banglo bernilai RM5.9 juta itu.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti siapa yang menyediakan cek pembelian banglo itu yang mana ia boleh diuruskan sendiri oleh Muralidharan atau firma guamannya melalui pegawai akaun atau kerani mereka.

Harris Ong: Daripada mana dapat nilai banglo itu?

Ahmad Zahid: Laporan penilaian. Banglo itu dibeli di bawah harga pasaran yang bertujuan kebajikan dan perkembangan ilmu selaras kehendak yayasan.

Harris Ong: Banglo dekat dengan kediaman Datuk Seri?

Ahmad Zahid: Dekat dengan surau di Country Heights dan jauh dari rumah walaupun saya tinggal di kawasan sama.

Harris Ong: Setuju dengan saya Datuk Seri nak solat jemaah boleh ke Surau An-Nur Country Heights?

Ahmad Zahid: Saya memberitahu tanpa rasa riak, sombong dan ujub saya adalah pengerusi surau itu.

Harris Ong: Datuk Seri solat di sana?

Ahmad Zahid: Ikut kesempatan boleh solat di sana atau surau lain.

Harris Ong: Surau An-Nur paling dekat?

Ahmad Zahid: Benar dalam rumah saya pun ada surau.

Perbicaraan bersambung 2.30 petang ini.

BHOnline

Leave a Reply