Ibadah haji terbesar era COVID-19 bermula
MAKKAH: Pelaksanaan ibadah haji terbesar sejak penularan pandemik COVID-19, bermula hari ini dengan ratusan ribu jemaah yang kebanyakannya tidak berpelitup muka, dijangka mengelilingi Makkah.
Seramai sejuta penganut Islam yang lengkap divaksin, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini, berbanding sekatan jumlah individu yang dibenarkan untuk dua tahun lalu.
Di Masjid al-Haram, Makkah, jemaah akan melaksanakan tawaf mengelilingi Kaabah yang menjadi kiblat bagi umat Islam ketika menunaikan solat.
Haji tahun ini adalah yang terbesar berbanding pada 2020 dan 2021, namun jumlah jemaah masih kecil jika dibandingkan musim haji sebelum COVID-19 melanda.
Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah tahunan itu, yang mewajibkan individu berkemampuan untuk melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Namun, penularan COVID-19 menyebabkan jumlah itu dikurangkan kepada hanya 60,000 penduduk Arab Saudi yang lengkap divaksin pada tahun lalu, serta hanya beberapa ribu pada 2020.
Ibadah haji tahun ini dihadkan kepada individu yang lengkap divaksin, berusia bawah 65 tahun, yang dipilih daripada jutaan pemohon lain menerusi sistem dalam talian.
Bakal haji yang tiba dari luar Arab Saudi diwajibkan menyerahkan hasil negatif bagi keputusan ujian PCR COVID-19, yang diambil dalam tempoh 72 jam sebelum perjalanan.
Mereka yang ditangkap menunaikan haji tanpa permit pula akan dikenakan denda 10,000 riyal (RM12,000).
Polis di sekitar bandar itu mewujudkan beberapa lokasi saringan serta melaksanakan pemantauan sambil memegang payung hijau bagi melindungi diri mereka daripada terik matahari.
Arab Saudi kini membenarkan jemaah wanita untuk menunaikan haji tanpa ditemani saudara lelaki.
AFP