Ju minta maaf, minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki
Bera: “Banyak kali arwah minta maaf dengan saya ketika dia singgah membeli kuih dan nasi lemak di gerai saya pagi tadi,” kata Saaniah Naim, 56, jiran wanita yang maut dipercayai dijerut dengan kabel pengecas telefon selepas rumahnya di Felda Mengkuang, di sini, dimasuki penyamun, jam 10.45 pagi, hari ini.
Saaniah berkata, arwah Siti Zuliana Said, 52 singgah di gerainya selepas pulang dari masjid dan memaklumkan dia akan menunaikan umrah Disember depan.
“Dia ada cakap, Ju minta maaf, minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki, Ju nak pergi umrah nanti. Tolong maafkan Ju.
“Ralat juga rasa sebab tidak sampai tiga jam berjumpa dengan arwah, saya dimaklumkan dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di sini.
Saaniah berkata, walaupun rumahnya terletak di belakang rumah mangsa, namun dia tidak mendengar sebarang bunyi pelik dari rumah mangsa.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, 22, berkata, dia tidak menyedari kejadian yang berlaku kerana sedang berehat di dalam bilik selepas pulang dari masjid.
Menurutnya, dia dan ibunya sempat ke masjid bersama-sama untuk solat Subuh, tetapi dia pulang ke rumah bersendirian kerana ibunya mahu mengaji.
“Saya tidak perasan mungkin penyamun sudah ada dalam rumah (ketika itu)… Mungkin dia tengok orang balik itu dia menggelabah… dalam rumah pun tidak bersepah.
“Saya hanya sedar apabila ayah, Mohd Haris Ibrahim, 60 memanggil saya dan memberitahu dia sakit kepala, selain memaklumkan paip air dalam bilik air bocor.
“Saya masuk bilik mak saya untuk mengambil peralatan baiki paip, dan nampak mak dalam keadaan terbaring.
“Saya panggil tetapi tiada respon. Rupa-rupanya emak sudah tiada,” katanya.
Muhammad Khairi Ramadan berkata, rupa-rupanya ayahnya sakit kepala kerana diketuk penyamun, namun ketika itu ayah belum sedar apa yang berlaku terhadap emak.
Difahamkan, warga emas itu yang berada di ruang tamu didatangi suspek dari belakang dan mencekiknya sebelum dihentak dengan objek keras di bahagian belakang kepala sehingga pengsan.
Mohd Haris yang juga Ketua Peneroka di Felda Mengkuang, Triang, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoHSAS) Temerloh kerana cedera di kepala.
METRO