591 mangsa banjir masih di PPS
Baling: Seramai 591 mangsa banjir di Kupang di sini, masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 pagi tadi.
PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai menempatkan 159 orang; PPS Surau An-Nur Taman Mesra (257 orang) dan Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang (175 orang).
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, semua mangsa masih belum pulang berikutan keadaan rumah yang tidak dapat didiami lagi.
“Buat masa sekarang kebanyakan rumah masih berlumpur dan banyak barangan rumah termasuk perkakas memasak rosak dan tiada kemudahan air bersih.
“Esok hari raya (Aidiladha), kita terus beroperasi seperti biasa, menerima panggilan dan merekodkan data mangsa banjir selain membantu mereka,” katanya hari ini.
Menurutnya, kebajikan semua mangsa banjir di PPS terjaga dan golongan berkeperluan terutama warga emas sentiasa dipantau.
METRO