Rauf nafi politik Melaka bergolak

Melaka: Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan keadaan politik Melaka berdepan situasi genting seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Ab Rauf yang juga EXCO Kanan kerajaan negeri berkata, laporan portal terbabit adalah berniat jahat serta boleh mengganggu gugat kestabilan politik negeri.

“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, saya tidak akan sesekali mengkhianati mandat dan kepercayaan diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.



“Tuduhan seperti itu (situasi politik Melaka) bukanlah pertama kali dilemparkan terhadap kepemimpinan negeri ini dan (saya yakin) ia adalah ‘permainan’ pembangkang yang cemburu dengan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri selepas BN menerajui Melaka.

“Suka saya menegaskan bahawa barisan kepemimpinan kerajaan negeri tidak terkesan dengan sebarang tohmahan yang bersifat spekulasi serta tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Rauf berkata, beliau memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan yang mengkhianati mandat rakyat seperti undi tidak percaya.

Malah, katanya, barisan kepemimpinan negeri akan terus berusaha keras bagi memastikan Melaka terus stabil sekali gus memberi kemakmuran kepada rakyat.



“Fokus kini adalah memberi sepenuh tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang dengan memenangi semua kerusi Parlimen yang ditandingi.

“Kami selaku pemimpin parti akan berusaha keras memastikan jentera pilihan raya BN di semua peringkat dalam keadaan siap sedia menghadapi PRU.

“Saya juga menyeru semua kepimpinan BN di semua peringkat tidak terpengaruh dengan tohmahan terbabit serta kekal fokus demi mencapai kemenangan di PRU-15 akan datang,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button