Solidariti ‘pilot’ darat bantu mangsa banjir

Baling: Demi memastikan kawasan banjir di Kupang, di sini kembali bersih, sekumpulan pengendali jentera berat menawarkan khidmat secara sukarela untuk membuang sisa kayu dan sampah.

Pengerusi Gabungan Pilot Darat Malaysia (GPDM) Daerah Baling, Mohammad Aminuddin Abdul Wahab berkata, lebih 380 jentolak dan lori digunakan untuk membersihkan kawasan itu sejak bencana Isnin lalu.

Katanya, solidariti pengendali dalam misi itu atas dasar membantu mangsa, memandangkan sisa kayu dan sampah yang berselut tidak mungkin dibersihkan hanya dengan kudrat manusia.



“Kita berkhidmat secara percuma kerana tanggungjawab untuk sama-sama membantu ketika penduduk ditimpa musibah,” katanya yang memberitahu persatuan mempunyai 150 keahlian yang terdiri daripada pemilik dan pemandu jentera serta lori.

Selain pembersihan sisa kayu, mereka juga membantu ketika pemindahan penduduk dan membersihkan fasiliti awam seperti sekolah, surau dan masjid.

Mohammad Aminuddin berkata, pasukannya seramai 400 orang yang datang dari Pendang, Sungai Petani, Sik, Kuala Nerang, Yan, Perlis dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Cawangan Keselamatan Kebakaran Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pasukan GPDM banyak membantu melancarkan operasi pembersihan dan pemindahan mangsa.



Pihaknya menghargai sumbangan diberikan dan mengucapkan terima kasih.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button