Kelantan janjikan komitmen projek KB Sentral
KOTA BHARU: Kelantan berjanji memberi komitmen dan penekanan terhadap projek pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral).
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad, berkata pihaknya akan memastikan projek berkenaan siap seperti dijadualkan pada 2025.
“KB Sentral akan siap pada 2025. Itu komitmen kita kerana dua sebab iaitu bagi menggantikan stesen bas sementara dan kedua mahu selari dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kita mahu KB Sentral siap sama tempoh dengan ECRL dan kita juga sudah memberi penekanan kepada syarikat kontraktor supaya memulakan projek dengan segera.
“Majlis perasmian projek berkenaan juga akan dilakukan dalam masa sebulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) bertanyakan soalan tambahan tempoh sebenar KB Sentral akan disiapkan memandangkan syarikat kontraktor baru dilantik dan tidak mahu ia berlarutan sebagaimana terminal bas sementara sehingga mengambil masa 13 tahun.
Akhbar sebelum ini melaporkan, suasana persekitaran diterminal bas sementara Lembah Sireh, di sini, dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan, menyebabkan lokasi itu dianggap antara lokasi pengangkutan awam yang ketinggalan zaman.
Tinjauan yang dilakukan menujukkan ia’rancak’ beroperasi dengan menerima ramai pengunjung dari dalam dan luar Kelantan, namun keadaan fasiliti terbabit dilihat seolah-olah tiada sebarang kemajuan.
Malah, stesen bas itu masih terbuka tanpa dilengkapi pendingin hawa, selain tiada kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau tempat menunggu yang sesuai untuk menampung pengunjung.
BHOnline