Awie pernah dimaki scammer

Kangar: Selebriti tanah air yang juga vokalis Kumpulan Wings, Datuk Awie mendedahkan bahawa beliau pernah diherdik dan dimaki oleh anggota sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ menerusi panggilan telefon.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, beliau dimaki dengan teruk apabila dia cuba menasihati ‘scammer’ berkenaan supaya tidak membuat penipuan seumpama itu lagi.

“Saya tahu panggilan itu adalah cubaan untuk menipu dan saya kemudian cuba menasihati anggota sindiket berkenaan.



“Sebaliknya, anggota sindiket itu menghubungi saya semula tidak lama selepas itu dan memaki hamun dan rupanya sindiket ini tahu nombor telefon dan identiti saya. Saya pernah dalam sehari dia kacau saya dalam 20 hingga 30 panggilan namun saya tidak lagi mengangkat telefon.

“Saya harap sekiranya berlaku situasi ini segera melaporkannya kepada polis supaya sindiket penipuan dalam talian ini dapat dibanteras,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 Peringkat Kontinjen Perlis Bersama Selebriti Datuk Awie dan Saiful Apek di sini semalam.

Katanya, beliau turut menasihatkan agar masyarakat yang berdepan dengan panggilan sindiket penipuan dalam talian supaya tidak sewenang-wenangnya merekod video perbualan atau memuat naiknya di laman sosial kerana perbuatan berkenaan hanya akan mendedahkan identiti kepada sindiket berkenaan.



“Kadangkala, kita yang menerima panggilan seakan menyimpan dendam dan cuba mempersendakan mereka dengan merekod video dan memuat naik di Facebook dan sebagainya konon untuk ‘mengenakan’ atau ‘mengajar’ sindiket ini.

“Namun perlakuan itu sebenarnya mendedahkan identiti kita serta ahli keluarga kepada mereka dan ada kemungkinan mereka memeriksa data peribadi kita dan ahli keluarga.

“Ditakuti nanti sindiket ini akan sekali lagi mencari jalan memperdayakan ahli keluarga pula kerana segala maklumat peribadi diketahui mereka,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, berdasarkan statistik direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sebanyak 71,389 kes jenayah komersil disiasat pada 2020 sehingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM5.2 bilion.

“Daripada jumlah itu pula, 47,850 kes yang dicatatkan adalah jenayah berkaitan penipuan dalam talian.

“Di Perlis pula, sejumlah 998 kes jenayah komersil direkodkan berlaku pada 2020 sehingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM15.8 juta yang mana 969 kes adalah jenayah penipuan dalam talian,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button