Seorang penganggur sorok 9.7kg dadah

Ipoh: Penahanan seorang penganggur di sebuah rumah di Changkat Kruing, Pantai Remis di Manjung, Isnin lalu, membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat lebih 9.7 kilogram (kg) bernilai RM970,000 dalam milikan lelaki itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan dalam serbuan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung jam 10 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan masing-masing satu peket plastik heroin seberat 2.06 gram (g) dan methamphetamine seberat 1.16g bersama suspek sebelum pemeriksaan lanjut menemukan tiga peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 2,769.4g dalam kereta di kawasan rumah itu.



Katanya, pemeriksaan susulan di sebuah lagi rumah milik suspek menjumpai satu plastik hitam mengandungi tujuh ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 6,929.7g.

“Ketika serbuan, hanya lelaki itu saja didapati berada dalam rumah dan kita masih menyiasat jika terdapat penghuni lain.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan untuk menampung keperluan 100,000 penagih dan ia disyaki untuk edaran di pasaran tempatan khususnya di Manjung dan daerah sekitar,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang sudah bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak enam bulan lalu, positif dadah jenis morfin dengan semakan turut mendapati dia mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.



Katanya, suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menurutnya, selain rampasan dadah, tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek dengan menyita sebuah motosikal berharga RM3,500.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button