Bekas atlet paralimpik menangis bawah jejambat fikir nasib anak isteri

Seremban: Disebabkan keadaan kesihatan semakin merosot, seorang bekas atlet paralimpik bukan sahaja tidak dapat bekerja, malah terpaksa berhutang keliling pinggang.

Malah, mereka sekali lagi diuji apabila rumah sewa didiami bersama isteri dan empat anak berusia antara setahun hingga enam tahun di Taman Happy, Rasah, di sini, ditenggelami air, Jumaat lalu.

Mohd Faizal Ali, 37, yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri sejak berusia 10 tahun sebelum ini berniaga pau dan burger demi menyara keluarga.



Namun, katanya, disebabkan mengalami penyakit gout, dia terpaksa berhenti berniaga kerana kaki kanannya makin sakit dan tidak dapat berdiri lama, apatah lagi untuk mengangkat khemah atau tong gas.

“Saya hanya mampu membuat biskut bersama isteri di rumah dan menjualnya secara dalam talian. Namun, saya sekali lagi diuji apabila mengalami masalah jantung dan berhenti membuat biskut sejak empat bulan lalu kerana sibuk mendapatkan rawatan.

“Jumaat lalu rumah sewa saya pula dinaiki air sehingga 0.5 meter menyebabkan banyak peralatan rumah rosak, malah kereta yang menjadi satu-satunya pengangkutan saya tersadai di tepi jalan kerana dimasuki air.

“Ketika itu, saya terduduk dan menangis di bawah jejambat memikirkan nasib anak isteri saya,” katanya ketika ditemui di inap desa milik tuan rumah sewanya, di Senawang, di sini, hari ini.



Menurut Mohd Faizal berkata, dengan pendapatan yang tidak seberapa menjual biskut, dia terpaksa membayar sewa rumah RM650 sebulan yang sudah tertunggak selama enam bulan, selain berhutang dengan rakan-rakan untuk membeli keperluan harian.

“Saya bernasib baik kerana pemilik rumah bermurah hati dan tidak mendesak kami supaya melangsaikan tunggakan.

“Bagaimanapun, saya tidak terdaya lagi untuk tinggal di sini kerana sudah tiga kali rumah dinaiki air sepanjang tahun ini.

“Banyak barang rosak setiap kali rumah dimasuki air, malah saya tidak mampu untuk membeli peralatan baru. Rumah juga terpaksa dibersihkan, namun saya sendiri tidak kuat lagi untuk melakukannya.



“Saya tolak tepi keperluan saya dan hanya memikirkan anak-anak yang masih kecil. Kos susu dan lampin pakai buang mereka agak tinggi juga, malah dengan keadaan masalah jantung dan penyakit gout ini, perbelanjaan semakin meningkat,” katanya.

Mohd Faizal berkata, akibat banjir Jumaat lalu, ketuhar miliknya turut rosak.

“Buat masa ini hanya fikir untuk berpindah dan sedang mencari rumah atas tanah dengan kadar sewa berpatutan sebelum merancang untuk meneruskan penjualan biskut,” katanya yang sangat berharap ada pihak boleh tawarkan rumah dengan kadar sewa rendah.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button