Johor Bahru: Bukannya ‘seludup’ senjata api, sebaliknya ia pemeriksaan rutin bagi kenderaan berlesen untuk membawa senjata api, peluru dan peralatan berkaitan melalui Pintu Masuk Sempadan Malaysia-Singapura.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tidak berlaku cubaan membawa masuk senjata api dari Singapura di Tambak Johor seperti audio dan gambar tular di media sosial sejak semalam.
Bagaimanapun, katanya, pergerakan treler dan pacuan empat roda yang membawa peralatan itu adalah sah dan diperiksa antara 2.30 petang hingga 4.30 petang semalam oleh pasukan diketuai Pegawai Turus Pelesenan Kontinjen Johor.
Kenderaan diperiksa di laluan lori (keluar) Malaysia-Singapura di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
“Pemeriksaan tersebut adalah ‘routine checking’ bagi setiap senjata, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api, sebagaimana surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.
“Semuanya diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk masuk ke Singapura selepas selesai latihan ketenteraan bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mudah mempercayai berita tular tanpa memeriksa kesahihannya dan tindakan tegas bakal diambil kepada penyebar kandungan palsu.
Dalam audio tular berdurasi 18 saat itu, lelaki mendakwa ada pihak membawa senjata api dari Singapura ke Malaysia di Tambak Johor dan perkongsian disertai beberapa gambar pemeriksaan senjata api oleh pihak berkuasa.
METRO
Like this:
Like Loading...
Related