Mengantuk petanda penyakit

Pada awalnya rungutan seorang kenalan mengenai sering mengantuk dilihat cuma gejala biasa.

Katanya, rasa mengantuk pada waktu siang mungkin lebih kepada ‘penanda’ semula jadi terhadap faktor diri yang keletihan disebabkan tuntutan harian yang padat.

Namun, apabila gejala mengantuk itu semakin ketara dan kerap daripada biasa, masalah itu mula menjejaskan rutin harian termasuk mengganggu penumpuan lebih-lebih lagi ketika bekerja dan memandu.



Sedangkan dia tidak pernah menghadapi masalah gangguan tidur kerana dia menikmati waktu tidur berkualiti iaitu tujuh hingga lapan jam.

Adakah masalah mengantuk dihadapinya itu gejala penyakit lain?

Sebenarnya, normal andai individu terasa mengantuk selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Umumnya, kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian.

Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.



Malah berkenaan peranan hormon, antaranya pengkaji menemui rasa mengantuk berpunca daripada kompaun kimia bernama edenosin yang wujud dalam otak bertindak balas dengan reseptor otak.

Kitaran tidur dipengaruhi ‘jam tubuh’ yang juga dikenali sebagai ritma sirkadian iaitu proses fisiologi berlaku dalam tubuh membolehkan badan bertindak balas dengan persekitaran seperti waktu tidur, makan dan aktif.

Jam tubuh ini yang sensitif dengan perubahan persekitaran seperti cahaya matahari dan suhu, membantu dalam menentukan sama ada waktu untuk berjaga pada waktu siang atau tidur ketika malam.

Mengantuk luar biasa bukan semata-mata gangguan tidur seperti dihadapi kebanyakan pesakit kecelaruan tidur ritma sirkadian tetapi boleh menjadi petanda penyakit lebih serius.



Mengantuk mempunyai gejala mirip bagi simptom penyakit lain yang mungkin menyerupai gejala disebabkan gangguan tidur.

Gangguan tidur

Gangguan tidur juga ada pelbagai jenis dan merujuk pada keadaan dialami pesakit.

Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.



Sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu adakah disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.

Merujuk pada mengantuk yang biasa dihadapi pesakit diabetes, gejala itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.

Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.

Faktor gangguan lain iaitu kesihatan mental dan emosi juga memungkinkan seseorang itu menghadapi masalah mengantuk luar biasa.



Ada kajian perubatan menerangkan mereka yang mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil untuk satu tempoh yang panjang boleh menjejaskan kualiti tidur, seterusnya mencetuskan gejala mengantuk.

Dalam keadaan normal, individu tidak cukup tidur, penat dengan aktiviti seharian selain sedih disebabkan peristiwa tertentu boleh merangsang badan bertindak balas dan menyebabkan mengantuk apatah lagi mereka yang mengalami gangguan mental.

Paling penting berkait dengan gangguan neuron teruk termasuk sawan ketika tidur dan sebagainya. Ini menjadikan gejala mengantuk yang berlaku perlu dirujuk kepada psikiatrik mahupun neurologi,” katanya.

Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.



Punca mengantuk

Melihat pada punca penyakit terutama individu mempunyai masalah obesiti, sebaik atur gaya hidup mereka termasuk pengambilan makanan seimbang iaitu sayur dan buah-buahan yang dapat membekalkan vitamin dan zat mencukupi.

Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.

Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga.

Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat.

Elak juga pengambilan kafein yang membuat pesakit berjaga sehingga jauh malam, sebaik-baiknya pengambilan air kosong atau teh hijau boleh membantu mereka menikmati tidur malam lebih baik.

Selain itu, amalkan aktiviti bersenam, individu yang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang hari boleh amalkan tidur sekejap sekitar 15 hingga 30 minit ketika tengah hari.

Jika di pejabat, gunakan waktu makan tengah hari untuk melelapkan mata seketika. Ini membolehkan mereka ‘mengecas’ kembali tenaga untuk meneruskan tugasan. Namun, jangan tidur selepas waktu Asar kerana anda akan berasa lebih letih dan tidak bertenaga.

Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk selain diabetes dan masalah psikiatri ialah;

Anemia

Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.

Penyakit jantung

Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.

Hipertensi

Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.

Hiperkalsemia

Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan.

Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 – 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.

Hipotiroidisme

Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.

Hiponatremia

Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading