Nak roboh baru datang bincang
Langkawi: Kerja merobohkan 24 rumah yang dibina secara haram di atas tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) di Bukit Malut di sini, akan diteruskan pihak berkuasa secara berperingkat.
Sumber PKB memaklumkan, setakat ini, operasi meroboh sudah membabitkan 17 daripada keseluruhan 41 rumah yang dikesan dibina secara haram atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri itu.
Beliau berkata, 17 struktur yang dirobohkan adalah membabitkan lapan rumah yang masih dalam pembinaan dan sembilan lagi membabitkan bengkel, kedai makan dan kandang haiwan.
“Dalam operasi fasa awal yang berakhir pada 30 Jun lalu, kita belum mengambil tindakan ke atas rumah yang berpenghuni kerana ingin memberi mereka masa untuk berpindah.
“Selepas ini, kita akan meneruskan fasa berikutnya selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 12 April lalu, yang mengarahkan tanah dikosongkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, antara matlamat operasi meroboh dibuat adalah untuk menyekat penjualan tanah PKB secara haram serta mengekang pencerobohan tanah secara berterusan.
“Sebenarnya ruang perbincangan telah dibuka begitu lama kepada penduduk, sejak kita mula memberi Notis Keluar dan Mengosongkan Tanah pada 14 Mac 2021.
“Bagaimanapun, penduduk mengabaikan notis yang diberikan termasuk saman yang difailkan kepada mereka sehingga operasi meroboh dilakukan,” katanya.
Beliau memaklumkan, hanya pada saat akhir sebelum tindakan meroboh binaan dimulakan, baharu ada wakil penduduk yang mahu tampil untuk berbincang.
“Dalam hal ini, kita sebagai tuan tanah akan terus berpegang kepada keputusan mahkamah dan sentiasa mematuhi prinsip perundangan,” katanya.
METRO