Siasat hubungan Apandi Ali dengan Jho Low
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak berkaitan menyiasat hubungan antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan buruan, Jho Low.
Dalam kenyataannya, bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan bagaimana Mohamed Apandi boleh mencadangkan penyelesaian terhadap kes Jho Low, dengan tawaran kepada ahli perniagaan itu untuk membayar RM1.5 bilion kepada kerajaan.
“Apandi sudah mendakwa dahulu bahawa tidak ada kesalahan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysian Development Berhad (1MDB). Ini bermakna Jho Low juga tidak bersalah.
“Jikalau tidak bersalah, apa sebabnya Jho Low bercadang bayar satu setengah billion ringgit kepada kerajaan Malaysia. Cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah,” katanya.
Namun, hingga kini, katanya, Jho Low masih tidak pulang ke Malaysia untuk disiasat dan didakwa.
“Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi yang kini menjadi seorang peguam bela. Kesanggupan Apandi menerima tawaran Jho Low tentulah kerana Apandi sekarang akui yang Jho Low bersalah.
“Lagi pun Najib didapati bersalah dengan semua tuduhan di mahkamah apabila dibicara, sekali gus keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicara.
“Ini bermakna Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai peguam negara,” katanya.
Dr Mahathir berkata, jika ada hubungan antara kedua-duanya, maka akan berlaku ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan).
“Keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low,” kataya.
Menjawab persoalan dibangkitkan Apandi mengenai asas dan sebab keputusan kerajaan terdahulu tidak meneruskan tuntutan Pulau Batu Putih, Dr Mahathir berkata, perkara itu sudah dijelaskan beberapa kali.
BHOnline