Eriksen buka akaun jaringan United
MANCHESTER: Christian Eriksen bermula cemerlang dengan membantu kelab baharunya Manchester United menewaskan Wrexham 4-1 dalam aksi persahabatan.
Eriksen dan Lisandro Martinez, yang diumumkan secara rasmi sebagai pemain United semalam, memulakan permainan yang dilakukan secara tertutup itu.
Bek tengah Raphael Varane dan pemain tengah James Garner, turut membarisi kesebelasan utama menentang skuad Liga Nasional itu.
Cristiano Ronaldo tidak terbabit dalam aksi berkenaan, tetapi menonton dari tempat duduk penonton.
Garner baru sahaja pulih daripada kecederaan paha dan, selepas beberapa sesi latihan, pengendali United Erik ten Hag menurunkannya untuk melihat kemampuannya susulan reputasi cemerlangnya untuk Forest musim lalu.
Bagaimanapun penampilan Eriksen, 30, yang lebih mencuri tumpuan apabila meledak gol di babak pertama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas pertahanan Wrexham Aaron Hayden membuka jaringan. United bangkit meledak tiga gol lagi di babak kedua.
Pemain-pemain muda Alejandro Garnacho dan Zidane Iqbal turut beraksi, dengan Matej Kovar menjaga gawang. Hannibal Mejbri dan Tahith Chong turut diuji Ten Hag.
“Ia kelab yang amat besar, jika bukan yang terbesar. Ia mempunyai sejarah yang hebat dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripadanya,” kata Eriksen.
Eriksen tinggal di Hotel Lowry bersama seorang lagi pemain baru ditandatangani United, Lisandro Martinez.
Pertahanan Argentina itu disahkan sebagai pemain United sejam sebelum sepak mula.
“Saya ingin meningkatkan prestasi saya. Dengan Erik ten Hag sebagai pengendali, saya akan menjadi lebih baik kerana dia adalah pengendali yang hebat,” kata Martinez.
United akan berdepan Atletico pada Sabtu di Oslo sebelum bertemu Rayo Vallecano di Old Trafford pada Ahad.
AGENSI