Ibu dakwa anak autism didera di pusat terapi

Johor Bahru: Seorang ibu mendakwa anak istimewanya didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai di sini, sejak awal tahun ini.

Suri rumah, Nik Huzaiwati Husin, 33, berkata, dia menghantar anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, yang didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

Dia mendakwa, anaknya yang mesra dipanggil Abrisam sudah beberapa kali cedera tetapi setiap kali meminta penjelasan, pihak terapi memberitahu ia disebabkan aktiviti terapi.



“Pada mulanya saya fikir mungkin mereka betul tetapi sejak Januari lalu, kecederaan sudah mula teruk sehingga nampak kesan penampar di pipi. Saya syak Abrisam didera namun penjelasan diberikan kesemuanya tidak masuk akal.

“Ahli terapi memberitahu muka Abrisam kena palang ‘monkey bar’, tetapi kesan cedera tidak seperti kena besi. Masa itu saya sudah tidak sedap hati. Hati saya berat sangat hendak terima alasan mereka,” katanya yang turut memuatnaik hantaran di Facebook (FB).

Menurutnya, pada 7 Julai lalu terdapat kesan cengkaman pada tubuh Abrisam menyebabkan dia sudah hilang sabar.

“Setiap kali cedera, saya pertikaikan kenapa terjadi tetapi mereka beri pelbagai alasan,” katanya.



Katanya, selepas kecederaan cengkaman di bahu kiri itu, dia ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai pada keesokannya.

“Di hospital, doktor sahkan kecederaan anak saya serius dan bukan kerana aktiviti seperti yang mereka dakwa. Selepas itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada hari sama,” katanya.

Nik Huzaiwati berkata, anaknya juga mengalami trauma hampir setiap malam apabila terjaga dari jam 1 pagi hingga 4.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, semua pihak yang terbabit diambil keterangan untuk membantu siasatan.



Beliau berkata, kanak-kanak terbabit dirujuk ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan dan pemeriksaan perubatan.

“Kanak-kanak itu juga dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan penilaian khusus pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya.

“Di peringkat ini, polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi, sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button