Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022

PUTRAJAYA: Persiapan untuk pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini, esok, berjalan lancar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata, persiapan berkenaan sedang giat dilaksanakan Jabatan Penerangan (JaPen) sebagai urus setia program itu, dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Saya berpuas hati dengan persiapan serta raptai, hari ini, dan kita amat mengalu-alukan kedatangan Keluarga Malaysia untuk menyemarakkan lagi pelancaran Bulan Kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022, di sini, hari ini.



Seterusnya, Mohammad berharap cuaca di Putrajaya esok baik, memandangkan terdapat banyak aktiviti menarik akan diadakan, antaranya program Berjalan Teguh Bersama serta persembahan pancaragam.

“Kita berdoa agar cuaca baik, esok. Oleh kerana ia perkara yang susah dijangka, kita ada pelan B (jika hujan),” katanya tanpa mendedahkan ‘pelan B’ berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, lagu tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, akan diperdengarkan buat julung kalinya pada majlis pelancaran esok.

Mohammad sekali gus berharap semua bangunan di Putrajaya, khususnya bangunan kerajaan, memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.



“Saya telah meminta pelbagai pihak seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk sama-sama merangka pelaksanaan program untuk menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati raptai pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 berlangsung dengan baik meskipun hujan renyai-renyai, pagi tadi.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sempena pelancaran itu, turut dijadualkan berlangsung program Berjalan Teguh Bersama membabitkan aktiviti berjalan secara santai yang akan disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.



Program Berjalan Teguh Bersama itu dijadualkan bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman, di sini, dengan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia bakal menyertainya.

Program terbabit yang membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia, adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button