PRU dah nak dekat… – PM

Shah Alam: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin tidak menyerang antara satu sama lain sehingga merugikan parti.

Perdana Menteri berkata, serangan sepatutnya disasarkan kepada pembangkang yang menjadi lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Soal pilihan raya, kita kena pastikan imej BN dan imej pemimpin mampu bawa kecemerlangan. Baharulah apabila kita bubar Parlimen, kita mampu beri tawaran.



“Kita kalau nak menang pilihan raya, tidak mesti berdasarkan emosi. Cukuplah jangan tembak sesama sendiri, kalau nak serang, seranglah pembangkang. PRU dah nak dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, dunia menilai Malaysia lebih baik disebabkan negara mempunyai asas yang kuat.



Bagaimanapun katanya, ada pihak seperti menolak penilaian dunia terhadap Malaysia sehingga ada menyebabkan mereka terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincangkan yang buruk dan tidak baik.

“Ini semua kerana kita terperangkap dengan persepsi yang dibawa oleh pihak pembangkang sehingga kita sendiri yang membawa cerita oleh pembangkang, sehingga kita menjadi lidah pembangkang untuk memburukkan negara.

“Jadi jika kita sentiasa burukkan kerajaan, bagaimana kita hendak menang dan menawan hati rakyat?,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan ahli BN supaya menjadi ‘lidah’ membawa berita baik oleh kerajaan seperti subsidi berjumlah RM77 bilion dan inflasi rendah sebanyak 3.4 peratus yang harus disebarkan.



“Kita harus perjelaskan kepada rakyat di akar umbi dan di media sosial dan gunakan media sosial untuk hebahkan berita baik seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang mendapat sokongan daripada rakyat.

“PRU dah tak lama dan kita harus buat kerja seumpama akan ada PRU esok. Parti kita harus digambarkan sebagai parti yang kuat menerusi kesepakatan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, harus ada kajian sikap untuk mengetahui kekuatan musuh.

Jelasnya, BN tidak boleh kecundang lagi seperti pilihan raya umum sebelum ini malah ada yang sudah membandingkannya dengan kerajaan PH dan PN yang tidak mahu lagi diberi peluang kedua.



“Saya yakin rakyat akan beri kita peluang kedua jika kita dapat menyakinkan rakyat. Jadi saya minta kajian sikap dibuat oleh (sayap) wanita menerusi semua komponen termasuk MIC dan MCA sebelum PRU.

“Di tempat saya di Bera, Wanita MCA dan MIC buat kajian sikap seperti Wanita UMNO. Mungkin ini pertama kali buat MCA dan MIC, namun dapat buat separuh sudah memadai agar kita boleh buat penilaian,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button