Patut ‘semacam’, ada pistol rupanya…

Sungai Petani: Seorang lelaki yang dilihat mencurigakan membawa kepada penemuan pistol bersama enam peluru, selepas dia ditahan polis berhampiran bangunan kedai di Taman Ria Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, lelaki 40 tahun terbabit pada mulanya dihampiri anggota polis yang mahu melakukan pemeriksaan terhadapnya, namun dia secara tiba-tiba terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan anggota polis yang mengejarnya tidak jauh dari lokasi dia melarikan diri.



“Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas pistol hitam jenis Colt PT.F.A buatan Amerika Syarikat bersama tiga peluru dan tiga kelongsong.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, siasatan terperinci dijalankan bagi mengetahui motif sebenar suspek menyimpan dan memiliki senjata api terbabit.

“Selain itu, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek pernah menggunakan pistol berkenaan untuk melakukan sebarang aktiviti jenayah,” katanya.



Zaidy berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button