Azeem pecah rekod 100m kebangsaan
KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia, awal pagi tadi.
Pelari berusia 18 tahun itu mempamerkan larian ‘luar biasa’ apabila mencatat masa 10.09 saat (s) sekali gus menungguli saingan bagi saringan lapan.
Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.
Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.
Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak akan meneruskan aksinya di peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung, awal pagi esok.
BHOnline