Aniq harumkan nama negara, UiTM

MOHAMAD ANIQ KASDAN ketika melakukan angkatan bagi kategori 55kg di Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung di Birmingham, England.

Rohana Man

KUALA LUMPUR – Pemenang Pingat Emas pertama kontinjen negara Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamad Aniq Kasdan,20, mendapat perhatian pelbagai pihak ekoran kejayaan tersebut.



Melakar kejayaan menerusi acara Angkat Berat Kategori 55 kilogram (kg), beliau menerima ucapan tahniah daripada orang kampung sehingga keluarga diraja.

Anak kelahiran Kampung Paya Besar, Segamat, Johor itu menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melahirkan rasa bangga serta menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau.

“Anda menjadi kebanggaan kami semua. Semoga terus berusaha mencapai kejayaan,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda.



Atlet angkat berat negara itu bukan sahaja meraih tempat pertama bagi kategori 55kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg, malah turut berjaya mencatatkan rekod baharu Sukan Komanwel.

Kejayaan berganda Mohamad Aniq dicatat apabila beliau juga berjaya melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.

Tidak ketinggalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, turut melontarkan ucapan tahniah kepada Mohamad Aniq.



“Tahniah buat Mohamad Aniq Kasdan yang merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, UiTM yang menjadi penerima Pingat Emas untuk acara Angkat Berat Kategori 55kg di Commonwealth Games Birmingham 2022! (Pingat Emas Pertama Malaysia). Tahniah Aniq!,” ujar Noraini melalui satu hantaran Facebook rasmi beliau.

Di Birmingham, UiTM memberi penghargaan kepada Mohamad Aniq yang menjadi lokasi penganjuran Sukan Komanwel 2022.

Penghargaan itu disampaikan Dekan FSSR UiTM, Prof. Mohd Anizu Mohd Nor yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor di sebuah hotel di National Exhibition Center (NEC), Birmingham.

Mohd Anizu memberitahu Mohamad Aniq adalah pelajar Diploma Pengurusan Sukan Pengajian Luar Kampus, FSSR yang dianjurkan dengan kerjasama pintar Majlis Sukan Negeri Johor.



Katanya, beliau antara pelajar sulung program itu.

“UiTM ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Johor atas kejayaan luar biasa Mohamad Aniq.

“Naib Canselor UiTM juga sangat berbangga dengan kejayaan beliau kerana ia bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah UiTM sendiri.

“Ini sesuai dengan inspirasi UiTM untuk menjadi universiti terkemuka di dunia, bukan sahaja dalam akademik, malah dalam kecemerlangan sukan,”katanya selepas majlis penyampaian penghargaan berkenaan di Birmingham.



Hadir sama Setiausaha MOM, Datuk Nazir Najib dan pensyarah kanan FSSR UiTM, Mohd Sadek Mustafa.

Di Segamat, kejayaan Mohamad Aniq merangkul Pingat Emas pertama Sukan Komanwel 2022 bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarganya, malah penduduk di Kampung Paya Besar.

Bapanya, Kasdan Sarudot, 53, berkata, keazaman yang tinggi, fokus dan sentiasa tekad menggapai impian emas Komanwel membuka laluan rezeki anaknya merangkul pingat emas, selain mendapat ‘keberkatan’ sempena Maal Hijrah dan berkat doa rakyat Malaysia.

Petugas di Jabatan Farmasi Hospital Daerah Segamat (HDS) itu turut menyifatkan faktor latihan tanpa henti di halaman kediaman mereka, di sebalik penularan Covid-19 membantu anaknya memenangi pingat emas, selain faktor semangat kesukanan yang tinggi serta keinginan mengharumkan nama Johor dan negara.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button