KKM digesa periksa premis jual nikotin tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan siasatan menyeluruh terhadap kedai yang didapati menjual produk mengandungi bahan nikotin, dikawal di bawah Akta Racun 1952, terutama kedai vape.

Presidennya, Amrahi Buang, berkata akta itu mengklasifikasikan nikotin sebagai racun Kelas C, yang hanya boleh diperoleh dan dikeluarkan ahli farmasi serta pengamal perubatan berlesen.

Katanya, kedai yang menjual produk vape mengandungi nikotin tidak mempunyai seorang ahli farmasi berlesen atau pun doktor.



“Walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ditangguhkan untuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang baru dilantik bagi menambah baik RUU berkenaan, tidak ada sebab untuk KKM tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan ke atas kedai vape.

“Adalah jelas penjualan ini bercanggah dengan Akta Racun 1952 dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang mengikut akta berkenaan. Siasatan terakhir dilakukan terhadap kedai yang menjual produk vape ini adalah pada November 2019.

“Justeru, KKM harus melakukan siasatan terhadap kedai ini untuk melindungi dan menjaga kesihatan rakyat, sementara menunggu RUU berkenaan diluluskan di Parlimen pada sesi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amrahi berkata, MPS menyokong RUU itu, yang bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan produk rokok serta vape bagi mereka yang lahir selepas 2007, sejak cadangan itu dibentangkan dan menerima penangguhan RUU itu untuk diluluskan.



Semalam, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Usul RUU berkenaan yang kini masih berada di peringkat bacaan kali kedua, dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen untuk dirujuk ke jawatankuasa berkenaan selepas ia dibahas 12 Ahli Parlimen, seterusnya digulung oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button