Cubaan seleweng minyak diesel tumpas

KUANTAN: Dua lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tujuh tan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin, berkata mereka yang berumur 21 dan 51 ditahan ketika mengisi minyak diesel di stesen terbabit pada jam 9.30 pagi.

Katanya, penahanan lori terbabit membongkar kepada penemuan lapan tangki berkapasiti 1,000 liter setiap tangki yang diubah suai.



“Ketika ditahan, dianggarkan 1,000 liter sudah diisi ke dalam tangki terbabit.

“Turut ditemukan ialah sebuah pam minyak yang digunakan untuk tujuan memindahkan diesel dari stesen minyak ke tangki terbabit.

“Siasatan awal mendapati bekalan diesel itu akan dibawa keluar dari negeri ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Pahang, di sini hari ini.



Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang yang menjalankan apa-apa perdagangan atau perniagaan menggunakan atau mengambil mana-mana barang berjadual (bahan api diesel melebihi 20 liter).

“Nilai sitaan dianggarkan termasuk diesel itu berjumlah RM59,000.

“Pemilik boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“KPDNHEP Pahang memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya petrol dan diesel.



“Oleh itu, KPDNHEP meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melaporkan kepada kementerian,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button