Komitmen peladang, penternak, nelayan jamin kestabilan bekalan makanan
Kuala Lumpur: Komitmen dan sokongan peladang, penternak dan nelayan terhadap sektor agromakanan dan industri makanan, telah menyumbang kepada pengukuhan sistem rantaian bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata tanpa sumbangan, pengorbanan dan titik peluh mereka ini, tidak mungkin jaminan kelangsungan bekalan makanan di negara terus kekal stabil.
“Secara tidak langsung, anda semua juga turut membantu dalam usaha kerajaan mentransformasikan sektor pertanian dan industri makanan, sebagai salah satu industri dan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya pada majlis Anugerah Agro Award kepada pemain industri, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
Beliau berharap agar pengiktirafan itu, menyuntik semangat kepada peladang, penternak dan nelayan yang lain untuk terus bersama menyemai benih, menebar jala dan mengembala ternakan.
“Semoga usaha murni anda semua diteruskan, agar sekuriti makanan negara kita terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Katanya adalah menjadi harapannya dan juga hasrat Kerajaan, supaya usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran sektor agromakanan secara efisien dan berkualiti, dapat direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara semua pihak berkepentingan dan jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Pada majlis itu Peladang Lelaki Terbaik dimenangi Muhamad Khalis Abd Karim dari Perak; Penternak Waja, Kamarulzaman Ali dari Kedah; Agropreneur Muda Terbaik, Mohd Anas Mohd Asmawi dari Perak; Nelayan Terbaik, Zakaria Daud dari Pahang; dan Persatuan Nelayan Terbaik, Persatuan Nelayan Kawasan Besut, Terengganu.
Selain itu, Unit Peladang Terbaik dimenangi Unit Gong 1, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Berang, Terengganu; Pertubuhan Peladang Terbaik, PPK Merbok Kedah; Peneraju Inovasi Agromakanan, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd dari Pulau Pinang; Kumpulan Tani Komersil Terbaik, Koperasi Sawat Gemilang Kampung Padang Balai Berhad dari Kedah; Bintang e-Dagang Agro, FGV Agro Fresh Technology (Gogopasar) dari Selangor dan Peneraju Industri Padi, PLS Marketing (M) Sdn Bhd dari Selangor.
Enam lagi anugerah akan disampaikan di Majlis Perasmian MAHA pada Sabtu ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk satu pemenang akan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Sektor Agromakanan, berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan.
Hadiah bagi kategori individu memperoleh wang tunai RM20,000, kategori unit atau berkumpulan (RM25,000) dan kategori organisasi atau swasta (RM30,000), selain trofi, cek cura dan sijil.
METRO