Jumlah trafik udara meningkat 76.2 peratus – IATA

Kuala Lumpur: Jumlah trafik untuk perjalanan udara pada Jun 2022 yang diukur dalam Jumlah hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 76.2 peratus berbanding Jun 2021 didorong oleh pemulihan kukuh yang berterusan dalam trafik antarabangsa, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata di peringkat global, trafik kini berada pada 70.8 peratus daripada paras sebelum krisis (pandemik).

“Trafik domestik untuk Jun 2022 meningkat 5.2 peratus berbanding tempoh tahun lepas. Penambahbaikan kukuh dalam kebanyakan pasaran, digabungkan dengan beberapa kelonggaran sekatan berkaitan subvarian Omicron dalam pasaran domestik China telah menyumbang kepada jumlah trafik tersebut,” kata IATA.

Ia berkata jumlah trafik domestik Jun 2022 adalah pada 81.4 peratus daripada paras Jun 2019.

Trafik antarabangsa meningkat 229.5 peratus berbanding Jun 2021 dengan penamatan sekatan perjalanan di kebanyakan bahagian Asia-Pasifik menyumbang kepada pemulihan, katanya.

Kenyataan itu juga berkata RPK antarabangsa untuk Jun 2022 mencapai 65.0 peratus daripada paras Jun 2019.

“Permintaan untuk perjalanan udara kekal kukuh. Selepas dua tahun penutupan dan sekatan pintu sempadan, orang ramai mengambil kesempatan daripada kebebasan itu untuk mengembara ke mana sahaja mereka mahu,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Beliau berkata perjalanan udara untuk musim panas Hemisfera Utara kini sedang berjalan, jangkaan bahawa penamatan sekatan perjalanan akan mengakibatkan permintaan perjalanan yang terpendam sekarang sudah terserlah.

Pada masa yang sama, memenuhi permintaan itu terbukti mencabar dan ia berkemungkinan akan berlanjutan, katanya.

“Lebih-lebih lagi untuk terus menunjukkan fleksibiliti kepada peraturan peruntukan slot di lapangan terbang. Hasrat Suruhanjaya Eropah untuk kembali kepada keperluan peruntukan slot 80-20 adalah terlalu awal.

“Lihat sahaja isu yang dihadapi oleh syarikat penerbangan dan penumpang mereka di beberapa hab lapangan terbang. Lapangan terbang ini tidak dapat menyokong kapasiti yang diisytiharkan walaupun dengan slot semasa sebanyak 64 peratus dan telah melanjutkan had penumpang baru-baru ini sehingga akhir Oktober,” katanya.

Fleksibiliti masih menjadi perkara penting untuk menyokong pemulihan yang berjaya, kata Walsh.

“Dengan mengehadkan bilangan penumpang, lapangan terbang menghalang syarikat penerbangan daripada mendapat manfaat daripada permintaan yang kukuh. Lapangan Terbang Heathrow di London, United Kingdom telah cuba menyalahkan syarikat penerbangan atas gangguan itu,” katanya.

Bagaimanapun, data Prestasi Tahap Perkhidmatan untuk enam bulan pertama tahun ini menunjukkan bahawa lapangan terbang itu telah gagal bagi menyediakan perkhidmatan asas dan tidak mencapai sasaran dalam perkhidmatan keselamatan penumpangnya sebanyak 14.3 mata, kata Walsh.

METRO

Leave a Reply