Peniaga ayam turunkan harga
Kuala Lumpur: “Sejak dua minggu kebelakangan ini pasar sunyi dan pelanggan yang ada tidak seramai dulu, malah bekalan ayam cukup tetapi pembeli tiada,” kata peniaga ayam Mohamad Shah Azmi, 33.
Lebihan ayam katanya mengakibatkan harga ayam terpaksa diturunkan berbanding harga siling ditetapkan kerajaan pada harga RM8.90 dan RM9.90 mengikut jenis ayam.
Mohamad Shah berkata, dia sendiri menjual ayam sekilo RM8.50 dan mengakui sejak kebelakangan ini kekurangan pembeli.
“Sebelum ini, ayam memang selalu habis dijual dan sekarang nak jual 50 ekor pun susah sangat.
“Boleh dikatakan jualan peniaga ayam merosot kira-kira 50 peratus sebab dulu kami mampu menjual sehingga 100 ekor sehari, biarpun harga sudah dijual bawah harga siling,” katanya kepada Harian Metro.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Basah Chow Kit di sini, hari ini mendapati peniaga mengeluh kerana kekurangan pembeli dan ada daripadanya masih berdepan dengan kenaikan harga barangan.
Bagi peniaga sayur, Suhaimi Mohd Ali, 50, berkata harga untuk sayur tiada penurunan malah naik antara lima hingga 10 peratus.
Menurutnya, sayur kangkung naik 50 sen hingga RM1 berbanding RM4 sekilo sebelum ini dan cili kampung masih tiada perubahan harga dan terus kekal mahal iaitu sekitar RM20 sekilo.
“Saya tidak tahu kenapa harga sayur kekal mahal dan kami peniaga sekarang hanya beli sayur yang ada permintaan daripada pelanggan.
“Tempahan sayur daripada pembekal pula kami buat dalam kuantiti sedikit kerana saya pernah menanggung rugi sayur yang dijual tidak laku dan rosak hampir separuh terpaksa dibuang,” katanya.
Suhaimi berkata, tomato pula naik harga RM6 ke RM7 sekilo berbanding RM3.50 sebelum ini dan sawi mencecah RM5 sekilo naik dalam 10 peratus.
Sementara itu, pengguna, Noor Ras’Adibah Rahmad, 37, berkata dia sekarang hanya membeli barang basah yang dirasakan perlu dan mencari harga berpatutan.
“Harga tidak dinafikan memang ada yang naik mendadak, malah bekalan ayam mencukupi sekarang dan kami banyak pilihan.
“Saya sendiri akan beli dengan peniaga yang tawarkan harga berbaloi dan beli di pasar basah kerana segar,” katanya.
METRO