Siap siaga, TDM selaku pakar perang hutan

Kuala Lumpur: Kehebatan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) selaku pakar perang hutan wajar digeruni apabila pasukan elit berkenaan dilengkapi sistem persenjataan moden.

Ia dibuktikan melalui Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, kelmarin membabitkan hampir semua aset ketenteraan yang dimiliki TDM.

Antara menarik perhatian adalah penampilan aset terbaru TDM membabitkan helikopter tempur MD530G buatan Amerika Syarikat yang dilengkapi sistem persenjataan pelancar roket 70 milimeter (mm) dan gatling gun 7.62mm serta mesingan berat 12.7 mm.



Pesawat MD530G berperanan sebagai helikopter tempur ringan dengan kemampuan menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer selain melaksanakan tugas tinjauan udara.

Segmen tembakan LKT 2022 membabitkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebanyak 644 pelbagai kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan termasuk PT 91M PENDEKAR, AV8 Gempita, AV 4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan serta Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) turut digunakan.



Turut digunakan aset senjata lain seperti meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120MM dan 81MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

Turut digunakan dalam latihan berkenaan ialah helikopter dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM, Helikopter EC 725 dari TUDM dan Helikopter Agusta A109 LOH selain pesawat pejuang FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

Hadir menyaksikan pertunjukan adalah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button