De Jong mahu kekal di Barcelona – Laporta
BARCELONA: Frenkie de Jong mahu kekal di Barcelona walaupun Manchester United berhasrat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah itu, kata presiden kelab berkenaan, Joan Laporta.
Manchester United mencapai persetujuan £71.5 juta (RM381.92 juta) bersama Barcelona untuk mendapatkan pemain Belanda berusia 25 tahun itu bulan lalu, tetapi perpindahan terbabit masih belum dimuktamadkan.
Dalam perlawanan persahabatan antara Barcelona dan kelab Mexico, Pumas, semalam, De Jong masuk pada separuh masa dan menjaringkan gol dalam kemenangan 6-0 pasukan itu.
“Dia pemain Barca yang berkualiti dan kami mahu dia kekal.
“Dia ada tawaran, tetapi kami mahu dia kekal dan dia juga mahu kekal di sini, kata Laporta.
De Jong dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, tetapi juga menjadi sasaran utama pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag, selepas pasukannya tewas 2-1 di laman sendiri kepada Brighton dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus.
Barcelona juga dilaporkan mahu gaji De Jong dipotong sekiranya dia kekal di Nou Camp, di tengah-tengah masalah kewangan dihadapi kelab berkenaan.
Kelab itu kini terbabit dalam perselisihan faham dengan De Jong mengenai gaji yang ditangguhkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang kini akan dibayar.
Setakat ini, Barcelona sudah mendapatkan pemain baharu, termasuk Robert Lewandowski, Raphinha, Franck Kessie dan Andreas Christensen.
Bek kiri Chelsea dari Sepanyol, Marcos Alonso juga hampir menyertai kelab itu.
AGENSI