‘Keadaan makin kritikal, kami perlukan 30,000 pekerja restoran’ – Persatuan

Kuala Lumpur: “Tolonglah kami yang semakin kritikal. Ini bukan soal buat untung tetapi lebih kepada yang survival dalam bidang perniagaan.” Itu gesaan gabungan persatuan di dalam industri makanan dan peruncitan yang merayu kerajaan memperhalusi isu pengambilan pekerja asing yang akan ditangguhkan bermula 15 hingga 31 Ogos ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) tampil dengan rayuan kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh pemberhentian pengambilan itu untuk tempoh dua bulan akan datang.

Menurutnya, lanjutan berkenaan bagi membolehkan pengusaha restoran serta peruncit mendapatkan tenaga kerja dalam masa terdekat.



“Keadaan semakin kritikal. Gabungan NGO sudah membawa perkara ini kepada Menteri Sumber Manusia semalam.

“Ketika ini hanya 30 peratus dari ahli persatuan menerima pekerja asing, manakala selebihnya masih berada dalam sistem dan sebahagian yang lain baru saja memohon,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Hadir sama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, Presiden Primas J Suresh dan Presiden Mawar Abdul Alim Sidique Zakariah.

Beliau berkata, impak kepada kekurangan pekerja asing ini menyebabkan 3,000 pengusaha restoran gulung tikar sejak pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.



“Sejak pandemik, di rangkaian restoran saya saja lebih 250 orang pekerja restoran pulang ke India dan tidak dapat masuk semula ke negara ini.

“Tapi itulah, seperti satu dosa pula bila kita bercakap soal pekerja asing sedangkan hakikatnya di Presma dan Primas, kami memerlukan 30,000 pekerja asing,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, kerajaan perlu bertindak segera bagi menyelamatkan industri dan ribuan pekerja yang terkesan.

Katanya, PPIM turut menerima aduan mengenai kesan yang sama diterima industri kawalan keselamatan dan pembersihan yang turut terjejas.



“Mereka di sektor ini juga terjejas. Kena tengok juga kerana ia membabitkan ramai orang. Selain itu, isu tuntutan, pelaksanaan gaji minima, semua itu diambil kira,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button